Siakap Keli
Gambar hiasan : Bernama

Pertukaran Skim Tetap Dan Berpencen Tidak Libatkan Penjawat Awam Sedia Ada – KSN

Kuala Lumpur : Cadangan menggantikan skim tetap dan berpencen tidak melibatkan penjawat awam sedia ada, dan ia hanya melibatkan lantikan baharu bermula tahun hadapan, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN) Datuk Seri Dr Ismail Abu Bakar.

Bagaimanapun katanya, perkara berkenaan masih dalam peringkat kajian, dan masih belum diputuskan.

”Mungkin tahun depan baru dapat keputusan, untuk melaksanakan cadangan berkenaan atau memerlukan penambahbaikkan.

”Kita sedia maklum bahawa tentera dan polis semua adalah perkhidmatan awam yang memerlukan kesinambungan, sama ada mereka terlibat atau tidak (pertukaran skim tetap dan berpencen) atau perkhidmatan awam sahaja yang terlibat,” katanya kepada pemberita ketika lawatan kerja KSN di Unit Tindak Khas Polis Diraja Malaysia, di Lapang Sasar Briged Tengah, Pasukan Gerakan Am Cheras, di sini.

Pada Rabu lepas, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Borhan Dolah berkata mulai tahun depan (2020), lantikan baharu dalam perkhidmatan awam mungkin tidak lagi dibuat di bawah skim tetap dan berpencen, sebaliknya digantikan dengan skim lantikan kontrak yang ditambah baik.

Langkah itu diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa khas pembaharuan perkhidmatan awam pada Oktober 2018, yang mahukan perkhidmatan awam dikecilkan secara berfrasa dan lantikan berdasarkan keperluan, selain mengurangkan bebanan pencen yang kini mencecah RM28 bilion.

Sementara itu, ditanya mengenai cadangan kenaikan gaji anggota polis, beliau berkata perkara berkenaan masih dalam kajian dan bergantung kepada kemampuan kewangan negara.

”Selain itu, penstrukuran elaun pasukan anggota keselamatan negara akan juga ditambah baik dari semasa ke semasa dan dilihat secara keseluruhan,” katanya.

Sementara itu, mengulas insiden Mej Mohd Zahir Armaya terkena tembakan maut, ketika membuat aksi gimik pada Pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, pada Sabtu lepas, Ismail berkata penggunaan peluru hidup tidak dapat dielakkan.

“Apa yang penting sebagai anggota elit, mereka memang memerlukan latihan menggunakan peluru hidup untuk memberanikan diri bagi mengambil tindakan sebenar,” katanya.

Mohd Zahir, 36, pegawai komando dari Pasukan 11 Rejimen Gerak Khas, meninggal dunia selepas dipercayai tertembak sewaktu gimik pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Div) dan Briged ke-13 Infantri Malaysia di Lok Kawi, Sabah.

Allahyarham Mohd Zahir, anak kepada pelakon serta pelawak veteran A.R Badul, dilapor meninggal dunia pada pukul 9.20 pagi, di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah selepas dimasukkan ke Unit Kecemasan.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.

Tambah komen

Dari Wiser.my

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.