Siakap Keli

Lagi Tular Video Geng Basikal Lajak Beraksi Di Lebuh Raya, Ibu Bapa Boleh Didakwa Dan Didenda

Semalam tular sebuah video yang memaparkan aksi beberapa orang kanak-kanak berbasikal lajak di lebuh raya dan menurut laporan, kesemua mereka yang berusia antara sembilan dan 15 tahun itu telah pun ditahan pihak polis.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata bahawa mereka ditahan setelah aksi tunggangan berbahaya itu dikesan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kajang semasa menjalankan Op Basikal Lajak.

“Kebanyakan basikal dinaiki tidak mempunyai spesifikasi sebuah basikal yang selamat untuk ditunggang dan telah diubah suai,”

Mana-mana individu yang didapati terlibat dengan kesalahan berkaitan basikal lajak termasuk melakukan aksi yang mengancam nyawa dan pengguna jalan raya yang lain, boleh dikenakan tindakan di bawah Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LN166/59) dan denda maksimum RM2,000.

Terbaru, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Sembilan, Supt Ibrahim Mohd Abdul Kadir berkata sekiranya pesalah masih lagi di bawah umur, Ibu bapa juga boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu pengabaian penjagaan kanak kanak dan boleh dikenakan hukuman denda sebanyak RM20,000 dan boleh dipenjara tidak lebih 10 tahun.

“Kita tidak mahu kes-kes melibatkan basikal lajak ini sehingga meragut nyawa berulang lagi. Adalah diingatkan bahawa pihak polis akan mengambil tindakan yang tegas ke atas mana-mana individu yang terlibat dengan kesalahan berkaitan basikal lajak,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai penularan sebuah video semalam, di laman media sosial Facebook yang dirakam oleh orang awam berkenaan kegiatan basikal lajak melibatkan sekumpulan budak lelaki di Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), susur masuk ke Ampangan.

Mengulas mengenai video berkenaan, Ibrahim berkata kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira pukul 11 pagi itu, melibatkan sekumpulan budak lelaki menunggang basikal lajak dengan posisi ‘superman’ dalam keadaan laju menuruni lebuh raya.

“Lebih membimbangkan, aktiviti berbahaya ini dilakukan di sepanjang lebuh raya tanpa menghiraukan kenderaan-kenderaan yang lain. Di samping itu juga, tiada sebarang mekanisme keselamatan yang diambil kira dalam aktiviti ini seperti penggunaan basikal asas yang selamat, pemakaian gear berbasikal yang betul, serta pengawasan orang yang lebih dewasa.

Kesemua mereka yang dianggarkan dalam 10 orang kini sedang dikesan pihak polis,” katanya.

Menurut Ibrahim, penunggang basikal lajak juga boleh didakwa di bawah Seksyen 42(1)  Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana basikal juga ditakrifkan sebagai kenderaan di bawah akta ini.

“Ibu bapa dinasihatkan supaya sentiasa memantau aktiviti anak-anak mereka. Segala aktiviti anak-anak haruslah diperhatikan dan diambil serius supaya anak-anak mereka tidak terlibat dengan aktiviti yang berbahaya seperti ini, kerana ianya bakal mengundang padah pada anak-anak dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

Sumber: BERNAMA

fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)

Tambah komen