Siakap Keli

Masjid Disaran Lakukan Solat Sunat Istiqa Bagi Kurangkan Masalah Jerebu

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) – Semua masjid di seluruh negara disaran melaksanakan solat sunat Istisqa bagi memohon hujan dan mengurangkan masalah jerebu yang melanda beberapa kawasan di Malaysia sekarang.

Untuk tujuan itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berkata pihaknya memohon kerjasama pentadbir agama Islam negeri.

“Jakim memohon jasa baik dan kerjasama Jabatan Agama Islam negeri di seluruh Malaysia supaya meminta semua masjid di bawah pentadbiran masing-masing melaksanakan solat sunat Istisqa bagi tujuan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Nordin berkata tiga masjid utama di bawah Jakim iaitu Masjid Negara di sini serta Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya akan melakukan solat sunat itu selepas solat Isyak malam ini.

Beliau menjemput orang ramai untuk hadir menjayakannya.

Menurut Mohamad Nordin, syor mengadakan solat sunat itu dibuat oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

 

Sumber: BERNAMA

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.