Siakap Keli
Foto:Bernama

Nenek Cekal Jaga Empat Cucu Kehilangan Ibu Bapa – Bernama

JERLUN, 9 Sept – Empat beradik berusia antara satu hingga 12 tahun dari Kampung Matang Kong, di sini yang kehilangan ibu dan bapa dalam tempoh kira-kira 40 hari lalu kini terpaksa bergantung harap kepada nenek mereka untuk meneruskan kehidupan.

Ku Izawati Ku Ibrahim, 12; Ku Irsa Zawanei, 9; Ku Imani Zahra, 6 dan Ku Inas Zafirah, 1, kehilangan ibu mereka Intan Zurina Abdul Rashid pada 27 Julai lepas akibat penyakit hati, manakala bapa mereka Ku Ibrahim Ku Aziz pula meninggal dunia Jumaat lalu akibat komplikasi organ dalaman.

Nenek empat beradik itu, Samsiah Othman, 57, kemudian mengambil tanggungjawab menjaga mereka dan lebih memeritkan wanita itu yang tidak bekerja juga perlu menjaga suaminya yang terlantar sakit sejak tiga tahun lalu.

“Semua cucu saya masih kecil lagi jadi sekarang mereka tinggal bersama saya di mana tiga daripada mereka masih bersekolah di Sekolah Kebangsaan Simpang Tiga, di sini dan selain saya juga perlu menjaga suami yang terlantar sakit,” kata Samsiah kepada pemberita.

Menurutnya, selepas anak (Ku Ibrahim) dan menantunya (Intan Zurina) meninggal dunia, ada pihak yang bersedia untuk menjaga cucunya, bagaimana pun ditolak kerana pihak berkenaan hanya mahu mengambil seorang atau dua daripada mereka.

Samsiah berkata, walaupun tidak mempunyai pendapatan tetap selain perlu menjaga suaminya, dia tidak sanggup memisahkan cucunya yang masih belum mengerti apa-apa mengenai kehidupan.

Dalam pada itu, keperitan hidup Samsiah dan cucunya mendapat perhatian Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pembasmian Kemiskinan dan Kebajikan negeri Halimaton Shaadiah Saad yang berkunjung ke kediaman mereka hari ini.

Bercakap kepada pemberita selepas kunjungan itu, Halimaton Shaadiah berkata perancangan untuk empat beradik itu adalah untuk menempatkan tiga daripada mereka iaitu Ku Izawati, Ku Irsa Zawanei dan Ku Imani Zahra di Rumah Anak Yatim Gemilang, Sik, manakala Ku Inas Zafirah yang masih kecil akan dijaga oleh Samsiah.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat juga akan melihat jenis bantuan yang bersesuaian kepada keluarga ini untuk menampung kos harian mereka selain bantuan bulanan sebanyak RM300 sebulan kepada datuk mereka yang terlantar sakit,” katanya.

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)