Siakap Keli

Dipercayai Angkara Hisap Vape, 6 Maut Manakala Lebih 400 Orang Lagi Terlantar Di Hospital Hidap Masalah Pernafasan

Vape dilihat sebagai inisiatif yang lebih sihat berbanding rokok kerana didakwa tidak mengandungi bahan kimia berbahaya yang banyak sepertimana rokok.

Oleh itu, ramai perokok berhijrah kepada inisiatif yang lebih moden ini demi kesihatan sendiri dan orang sekeliling. Namun, sejauh manakah ia lebih sihat berbanding rokok?

Di Amerika Syarikat, seramai 450 orang yang menggunakan vape dilaporkan mengalami masalah pernafasan didakwa mungkin berpunca daripada peranti tersebut. Enam kematian dicatatkan berlaku sejak Julai lalu di Oregon, Illinois, Indiana, Minnesota dan California dengan satu kematian terbaru semalam.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit US (CDC) menyarankan orang ramai agar menjauhi peranti tersebut sehingga mereka berjaya mengenalpasti punca penyakit berkenaan.

Dalam jumlah tersebut, kebanyakan pesakit menggunakan vape yang mengandungi THC, bahan psikoaktif yang boleh didapati di dalam kanabis. Sebahagian penghisap vape menggunakan campuran nikotin dan THC manakala hanya sebahagian kecil menggunakan nikotin sahaja, kata Dr Meaney-Delman.

Maddie Nelson selepas koma dipercayai akibat vape. (Kredit: Metro.co.uk)

Setakat ini, pakar memfokuskan kepada penjualan vape yang mengandungi minyak vitamin E yang dijual melalui pasaran gelap atas talian.

Jabatan kesihatan New York mendapati seramai 34 individu jatuh sakit setelah menggunakan kartrij kanabis yang mengandungi minyak vitamin E yang tinggi.

“Kami memfokuskan kandungan vitamin E asetat (acetate) bagi mengenalpasti sebarang kaitan antara penyakit paru-paru dengan vape,” kata jurucakap jabatan berkenaan.

Vitamin E asetat digunakan sebagai suplemen nutrisi yang diambil secara oral atau disapu pada kulit. Seorang pakar respiratori (pulmonologist) di Hospital Lenox Hill, New York, Dr Len Horovits berkata, “Anda tidak sepatutnya memanaskan vitamin E asetat dan menghisapnya kerana ia merupakan minyak.

“Paru-paru akan bertindak balas kepada minyak yang panas,” katanya.

Kebanyakan pesakit yang koma akibat masalah pernafasan tersebut mengalami simptom sakit dada, nafas pendek dan muntah-muntah pada awalnya sebelum terpaksa menggunakan ventilator.

“Doktor fikir saya akan mati, tapi berkat doa keluarga dan rakan-rakan, saya berjaya teruskan hidup setelah seminggu bergantung pada ventilator,” kata Simah Herman, 18.

Sementara itu, Maddie Nelson, 18 berkata, “Saya kongsikan kisah saya supaya anda sedar, pen ini tidak selamat dan hampir meragut nyawa saya. Sebelum ini saya beritahu kepada diri saya sendiri bahawa hal ini tidak akan berlaku pada saya, tapi ia berlaku. Dan ia juga boleh berlaku kepada anda.

“Ingat pesanan saya, jangan merokok, jangan vape,” katanya.

Menurut para penyelidik di UK, vape masih mengandungi kandungan nikotin yang tinggi manakala sebahagian daripadanya mengandungi perisa yang boleh menyebabkan reaksi toksik.

Doktor mendapati paru-paru Adam Hergenreder, 18 seperti paru-paru individu berusia 70 tahun. (Kredit: Hull Live)

Dr Aaron Scott dari Universiti Birmingham dalam satu kajiannya mendapati cecair yang termeruap dari peranti vape mempunyai kesan yang serupa terhadap paru-paru dan badan sepertimana yang dialami oleh perokok.

Menurutnya, kandungan di dalam vape bersifat toksik terhadap sel dan boleh menyebabkan inflamasi.

“Kami hanya mengenalpasti kesan jangka masa pendek dan ianya berbahaya. Kita perlu lebih berhati-hati.

“Risiko penyakit paru-paru masih ada dan kita perlu mengakuinya. Kita tidak boleh hanya memfokuskan kepada faedah vape yang membuatkan perokok berhenti merokok,” katanya.

Sumber: Metro.co.uk

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.