Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan : Bernama

Hasrat Bercuti Di London Tidak Kesampaian

Kuantan : Hasrat pemilik bengkel membawa keluarganya bercuti ke London tidak kesampaian, selepas ditipu dalam pembelian tiket penerbangan yang dibuat menerusi ejen sebuah syarikat pelancongan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa yang berusia 29 tahun mendakwa, telah menjelaskan RM11,530 bagi tempahan tiket perjalanan dua hala untuk lima orang pada awal Jun lalu.

Mangsa mendakwa mereka dijadualkan berlepas ke London dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 13 Okt dan kembali ke tanah air pada 23 Okt ini.

“Suspek dikatakan telah menghantar gambar salinan tempahan tiket sebagai bukti kepada mangsa, selepas menerima semua pembayaran yang dibuat menerusi tiga transaksi dalam talian.

“Bagaimanapun, mangsa berasa sangsi apabila mendapati tempahan tiket atas nama mereka, tidak wujud selepas membuat semakan di laman web syarikat penerbangan itu semalam,” katanya kepada sumber di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata suspek, apabila dihubungi mangsa telah memberi pelbagai alasan menyebabkan mangsa tidak berpuas hati dan terus membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.