Siakap Keli
Gambar Bernama

Sebutir Bom Mortar Ditemui Di Tanah Perkuburan

KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) — Sebutir bom mortar lama jenis 81 milimeter ditemui di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Ampang di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Noor Azmi Yusoff berkata bom itu ditemui seorang penggali kubur yang sedang menyiapkan lubang kubur untuk urusan pengebumian seorang jenazah di kawasan berkenaan.

“Polis menerima satu panggilan daripada individu berkenaan pada kira-kira 2.45 petang yang memaklumkan berhubung penemuan itu.

“Setibanya di kawasan berkenaan, polis mengesahkan mengenai penemuan bom itu dan terus memaklumkan kepada Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor untuk ke tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Noor Azmi, kawasan perkuburan itu ditutup sementara untuk orang awam sementara proses memusnahkan bom dijalankan.

“Bom tersebut bagaimanapun berjaya dimusnahkan pada 6 petang tadi dalam keadaan selamat,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.