Siakap Keli
Kredit: Healthline / Medical News Today

Penyelidik Dapati Orang Pendek Lebih Berisiko Kena Penyakit Kencing Manis-KAJIAN

Individu yang rendah lebih terdedah kepada risiko kencing manis jenis 2, lapor jurnal Diabetologia, jurnal khusus kajian terhadap diabetes.

Kajian yang dijalankan oleh European Prospective Investigation into Cancer and Nutrition (EPIC) ke atas 27,548 individu itu mendapati purata risiko diabetes berkurang sebanyak 41 peratus bagi lelaki dan 33 peratus bagi perempuan dengan setiap perbezaan ketinggian 10 sentimeter (cm).

Dalam kajian tersebut, berat, ukur lilit pinggang, tekanan darah serta ketinggian peserta ketika duduk dan berdiri telah direkodkan.

Individu yang rendah juga lebih terdedah kepada risiko kardiovaskular dan dikaitkan dengan kandungan lemak hati yang lebih tinggi berbanding individu yang tinggi, kata Dr Clemens Wittenbecher dan Professor Matthias Schulze dari German Institute of Human Nutrition Potsdam-Rehbruecke.

Selain itu, mereka juga kurang sensitif terhadap insulin di samping fungsi sel beta yang lebih lemah berbanding mereka yang lebih tinggi.

Berat badan – ketinggian

Bagi individu dengan berat badan normal (BMI 18 hingga 21), risiko diabetes berkurang 86 peratus bagi lelaki dan 67 peratus bagi perempuan dengan perbezaan ketinggian 10 cm.

Bagi golongan yang mengalami obesiti pula, risiko diabetes berkurang 36 peratus bagi lelaki dan 30 peratus bagi wanita dalam setiap 10 cm pertambahan ketinggian.

Selain itu, penyelidik mendapati mereka yang berkaki panjang turut dikaitkan dengan risiko diabetes jenis 2 yang lebih rendah, terutamanya bagi lelaki.

Bukan faktor secara langsung

Kajian ini mendapati terdapat perkaitan antara ketinggian dan risiko diabetes, namun belum dapat mengenalpasti kaitan secara langsung antara ketinggian dan diabetes jenis 2.

Sebagai contoh, masalah nutrisi kanak-kanak juga boleh menjadi faktor kepada masalah ketinggian terbantut dan meningkatkan risiko diabetes jenis 2.

“Walaubagaimanapun, individu rendah perlu dipantau lebih dekat bagi penyakit diabetes dan risiko penyakit kardiovaskular,” kata penulis dalam jurnal yang diterbitkan 9 September lalu.

Sumber: Diabetologia, Live Science

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.