Siakap Keli
Gambar : Bernama

Nelayan Terpaksa Bercuti, Jerebu Semakin Teruk

Beruas : Nelayan di Bagan Panchor di sini terpaksa bercuti seketika daripada turun ke laut berikutan keadaan jerebu yang melanda daerah Manjung bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini.

Faizul Sofian, 42, berkata biarpun ada rakannya yang tetap turun ke laut, namun kebanyakan daripada mereka akan pulang dengan hasil kurang daripada kebiasaan antaranya disebabkan oleh jarak penglihatan yang terhad.

”Bila jerebu hasil tangkapan pun akan kurang. Jadi kebanyakan nelayan akan bercuti seketika.

”Harap keadaan ini tak lama kerana rezeki kita bergantung pada hasil laut. Kita kalau boleh nak hari-hari ke laut tapi keadaan jerebu ini semakin hari semakin teruk,” katanya kepada sumber di sini, hari ini.

Bagi Nazri Ahmad, 55, kebanyakan nelayan tidak turun ke laut kerana tahap penglihatan yang terjejas boleh menyebabkan kemalangan seperti dilanggar atau bertembung dengan bot serta kapal lain.

”Jerebu kuat di laut, bahaya. Kita terpaksa berhati-hati dengan memasang telinga kerana takut bot lain ada berhampiran tanpa nampak bot kita,” katanya.

Sementara itu, Ismail Osman Yan, 49, berkata dia tidak ke laut kerana khuatir keadaan jerebu yang teruk boleh mengganggu tahap kesihatannya selain faktor hasil ikan yang berkurangan.

”Saya terpaksa bercuti. Jadi pada masa ini, saya ambil peluang untuk membaiki bot dan pukat. Bukan apa, kalau turun ke laut, jarak penglihatan juga terhad takut dirempuh bot besar,” katanya.

Setakat pukul 2 petang ini, Indeks Pencemaran Udara (IPU) bagi Manjung adalah 133 iaitu dalam kategori tidak sihat.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.

Tambah komen