Siakap Keli
Kredit: Bernama

(Video)”Supaya Dia Tahu, Darah Perwira Tu Macam Mana”, Kisah Veteran GGK ”Train” Cucu Jadi Komando Sejak Kecil

Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Inilah peribahasa yang sesuai dengan semangat perjuangan yang mengalir dalam darah seorang kanak-kanak cilik, Muhammad Haziq Muhammad Hariq, 6 tahun yang ingin mengikut jejak langkah datuknya, Abdul Halim Mat Ludin, 61, yang merupakan seorang bekas komando.

Abdul Halim pernah berkhidmat sebagai seorang komando sejak 1979 dan merupakan antara sosok dalam Regimen Gerak Khas yang terlibat dalam operasi menentang komunis di Sungai Itik, Perak.

Mungkin merupakan salah seorang datuk yang paling sporting dan tegas, Abdul Halim melatih cucunya dengan pelbagai latihan ketenteraan seperti kawad, posisi menembak dan mengenali hutan.

Katanya, beliau ingin cucunya membesar dengan kefahaman tinggi mengenai ketenteraan dan menghargai jasa pasukan keselamatan yang memelihara kedaulatan negara.

Semai minat sejak usia 4 hari

Menurut Abdul Halim, beliau menyemai minat Haziq terhadap bidang ketenteraan sejak kanak-kanak itu masih bayi.

“Saya ambil dia dari hospital, saya bawa balik ketika usia dia 4 hari. Saya beli senapang yang banyak.

“Setiap kali lepas mandi, lepas menyusu ibunya dan bila-bila masa saja, saya akan letak senapang itu,” kata Abdul Halim merujuk kepada senapang mainan buat cucunya.

Tambahnya lagi, usaha mendidik minat kanak-kanak perlulah dilakukan ketika mereka masih kecil.

“Kita nak latih masa dia budak. Bila dah tua, 7, 8 tahun.. masa tu dah tak jadi.”

Tidak memaksa

Menurut Abdul Halim, beliau tidak pernah memaksa cucunya untuk meminati bidang ketenteraan, bahkan ianya merupakan semangat Haziq yang tidak jemu dari dulu hinggalah sekarang.

“Baju loreng ni, dia pakai pergi solat Jumaat, kenduri atau pasar. Bukan pakcik paksa, bukan pakcik suruh dia. Semangat dia tu. Kadang-kadang dia sendiri yang nak;

Wan, Haziq nak pakai baju ni“, kongsinya.

Abdul Halim berkata, beliau sangat mengharapkan agar Haziq mengikuti jejak langkahnya.

“Cucu saya ni, semangat dalam askar tak pernah rasa pudar, tak pernah rasa jemu.

“Saya berazam, akan ku ajak, akan ku latih sepertimana aku kursus komando. Saya akan latih dan didik dia jadi anggota komando,” katanya.

Inilah barisan kita

Beliau turut mengajar erti kemerdekaan kepada Haziq melalui lagu patriotik supaya dia memahami tentang kemerdekaan.

“Saya cerita tentang kemerdekaan dan ajar dia lagu Inilah Barisan kita supaya dia faham maksud lagu ini.

“Moga cita-cita pakcik supaya dia dapat masuk tentera dan komando tercapai.

“Macam mana pakcik rasa, macam tu dia rasa supaya dia tahu darah seorang perwira macam mana.

“Macam mana darah pakcik sekarang ni, macam tu lah nak bagi kat dia,” katanya.

*Semoga Muhammad Haziq dan rakan seusianya membesar menjadi individu yang berguna serta berbakti kepada pertiwi.

Jom layan lagu sikit?

*Moga Allah melindungi semua perwira negara dan menempatkan roh mereka yang telah pergi dalam kalangan mujahid. Aaminn.

Sumber: Bernama

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.