Siakap Keli

25 Sekolah Di Putrajaya Akan Ditutup Jika Bacaan IPU Melebihi 200

PUTRAJAYA, 16 Sept — Sebanyak 25 sekolah di Putrajaya akan ditangguh tempoh waktu persekolahannya esok jika bacaan Indeks Pencemaran Udara Udara (IPU) melonjak melebihi angka 200, iaitu suasana kualiti udara sangat tidak sihat, demikian menurut Timbalan Pengarah (Perancangan) Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Dr Roslan Hussin.

Beliau berkata pihaknya akan sentiasa memantau bacaan IPU dari masa ke semasa dan sekolah akan diarahkan tutup jika bacaan jerebu melebihi 200, bagi memastikan kesihatan para pelajar dan guru terjamin.

Terdapat 25 sekolah di kawasan Putrajaya iaitu 15 sekolah kebangsaan dan 10 sekolah menengah.

Setakat pukul 4.00 petang tadi, bacaan IPU di Putrajaya ialah 196 iaitu tahap tidak sihat.

“Kita sedang memantau perkembangan bacaan IPU di Putrajaya. Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan telah meminta semua pengetua dan guru besar menyediakan pelan yang sewajar termasuk menangguhkan semua aktiviti di luar bilik darjah berdasarkan skala IPU yang telah digariskan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Putrajaya menjadi kawasan terbaharu mencatatkan bacaan IPU sangat tidak sihat hari ini dengan bacaan 202 pada pukul 12 tengah hari tadi.

— BERNAMA

Nur Farra