Siakap Keli
Gambar hiasan

”Kenapa Cari Penyakit Dik”, Buka Mata, Ini Akibatnya Kalau Anda Pasang ”Braces” Di Klinik Haram

Semua orang ingin tampak cantik dan bergaya. Namun kecantikan dan ketampanan itu kebiasaannya tidak datang dengan cara yang mudah. Jika hendak kurus, usahlah anda terpedaya dengan lambakan produk-produk pelangsingan badan yang ada di pasaran kerana apa yang perlu anda buat untuk mendapatkan bentuk badan seperti yang diinginkan adalah dengan bersenam. Tidak ada jalan belakang untuk keinginan tersebut.

Setiap apa yang diinginkan itu pastinya memerlukan pengorbanan. Pastinya ada pahit, sakit dan jerih yang perlu ditempuhi untuk mendapatkan apa yang kita mahukan serta impikan. Dalam soal untuk mendapatkan bentuk gigi yang sempurna pula, kesakitan seseorang pesakit yang memakai pendakap gigi bagi mendapatkan bentuk gigi yang sempurna pula, pastinya hanya mereka sahaja yang boleh merasainya. Untuk memakai pendakap gigi pula, rujukan daripada pakar yang bertauliah perlu dititik beratkan.

Walaupun kos yang akan dikenakan agak mahal, namun ianya lebih selamat kerana sudah pastinya kesihatan anda akan lebih terjamin. Sejak kebelakangan ini, terdapat pelbagai kes yang melibatkan pemakaian pendakap gigi oleh individu yang tidak bertauliah semakin meningkat gara-gara ada yang memilih untuk mendapatkan servis individu ini kerana kos yang agak murah berbanding dengan yang ditawarkan oleh pakar yang bertauliah.

Walaupun kosnya lebih murah berbanding yang ditawarkan oleh pakar, namun ianya boleh menjejaskan kesihatan si pemakainya pada masa akan datang. Untuk mengetahui kesan kepada kesihatan serta mengapa anda perlu berbelanja lebih sedikit untuk mendapatkan rawatan ke atas gigi anda, ikuti artikel yang telah ditulis oleh seorang pensyarah Fakulti Pergigian UiTM, Nur Aliana Hidayah Mohamed berkenaan dengan perkara tersebut seperti yang telah dikongsikan di Ini Sains Beb seperti berikut:

KENAPA CARI PENYAKIT DENGAN SALON PERGIGIAN HARAM.

Panas kembali isu doktor gigi tidak bertauliah. Betul ke memakai pendakap gigi atau nama lainnya braces ni nampak lebih nerdy dan mengikut trend semasa? Tapi yang pasti, salah serah diri kepada yang bukan pakar pasti akan menimbulkan masalah di kemudian hari. Bagi mereka yang pernah memakai pendakap gigi, pastinya anda tahu bagaimana susahnya penjagaan kesihatan oral sepanjang hampir 2 hingga 3 tahun tempoh pemakaian pendakap gigi. Kena pula jika tidak memakai ‘retainer’ setelah prosedur selesai, gigi boleh menjadi ‘relapse’ dan perlu melalui proses untuk berjumpa pakar sekali lagi.

Gambar: FB

Tahukah anda apakah kesannya jika anda memakai pendakap gigi yang dipakaikan khas daripada DOKTOR GIGI PALSU?

1. Selalunya doktor gigi palsu akan menggunakan dawai dan getah untuk dipasang pada gigi supaya akan wujud tekanan yang akan menyebakan gigi ditarik dan akan lebih tersusun. Tahukah anda, teknik ini memerlukan kepakaran daripada pakar ortodontik. Kalau salah justifikasi, tekanan yang buta-buta diberi kepada gigi boleh menyebabkan renjatan aliran darah kepada gigi. Lama-kelamaan, ia boleh menyebabkan kerosakan pada akar, kerosakan tisu di gusi dan akhirnya boleh juga menyebabkan pereputan gigi. Dan lebih menyedihkan, kerosakan-kerosakan ini ada yang berbentuk kekal dan tidak boleh dirawat semula.

2. Karang gigi. Adakah anda mendapat konsultasi bagaimana untuk menjaga kebersihan oral selepas prosedur pemasangan pendakap gigi palsu? Tidak bukan. Nah..ini lah antara punca penghasilan karang gigi. Bukan setakat itu sahaja, besi yang berkarat, warna yang luntur daripada getah boleh menyebabkan hakisan kepada gigi. Jika anda berjumpa dengan doktor gigi yang bertauliah, anda akan mempelajari bagaimana cara terbaik untuk kebersihan oral terutama apabila pendakap dipasang pada gigi. Bukan mudah ya menjaga kebersihan mulut sepanjang pemakaian pendakap gigi. Sanggup tidak makan lagi selepas rongga mulut dibersihkan. Rongga mulut yang tidak bersih boleh menyebabkan penghasilan ulcer dan masalah bau mulut yang sangat ketara.

3. Jangkitan penyakit berjangkit. Adakah anda pasti kesemua peralatan yang digunakan oleh doktor palsu telah disterilkan mengikut piawaian? Perlu diingatkan, semua peralatan perlu disterilkan dengan mesin autoclave sebelum diguna semula kepada pesakit lain. Autoclave merupakan alat yang digunakan di dalam makmal perubatan dan pergigian, mengunakan konsep stim pada tekanan tinggi. Fungsinya adalah untuk sterilisasi alatan perubatan/pergigian yang telah digunakan sebelum diguna semula untuk pesakit lain. Jika tidak melalui proses sterilisasi, kemungkinan wujud bakteria/virus yang merbahaya yang mungkin berasal dari darah pesakit A dan ia boleh berpindah ke pesakit B. Ia lebih bertambah bahaya jika terdapat bukaan saluran darah akibat kecederaan semasa prosedur di mana bakteria/virus dengan mudah dapat memasuki pesakit melalui salur darah yang terbuka. Dalam istilah perubatan, ia dipanggil blood-borne infection. Tidak takut kah anda dengan penyakit berjangkit yang boleh berpindah melalui darah seperti HIV ?

4. Keperluan X-ray: Untuk menyusun gigi supaya lebih teratur, doktor akan mengambil x-ray terlebih dahulu. Lain pesakit, lain masalah gigi mereka. Selepas imbasan x-ray diperolehi, barulah justifikasi rawatan dibuat. Bukan semberono memasang dawai gigi kepada pesakit. Jika anda mendapati doktor gigi anda tidak meminta imbasan x-ray sebelum melakukan prosedur ortodontik, sila semak perakuan amalan tahunan (APC) mereka. Hanya pengamal perubatan yang memiliki APC membolehkan mereka mengamal sebagai pengamal perubatan yang sah.

Di Malaysia, selain daripada rawatan gigi di klinik-klinik pergigian dibawah kawalan-selia Kementerian Kesihatan Malaysia, anda boleh juga membuat tinjauan ke universiti-universiti awam yang menawarkan kursus pergigian di mana universiti-universiti ini juga mempunyai klinik pergigian untuk orang awam mendapat rawatan. Caj yang dikenakan juga amat berpatutan.

Sudah pasti juga anda boleh mendapatkan konsultasi daripada pakar ortodontik yang bertauliah. Untuk maklumat tambahan, seorang doktor pergigian perlu melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana pergigian ortodontik di mana tempoh pengajian adalah sekitar 4 tahun. Setelah tamat pengajian daripada pusat-pusat pergigian yang diktiraf, barulah mereka dipanggil pakar pergigian ortodontik dan mereka juga perlu mendaftar di Majlis Pergigian Malaysia untuk mengekalkan piawaian tertinggi professional dan etika sebagai pakar dalam amalan pergigian mereka.

#anaila #inisainsbeb

Sumber: Ini Sains Beb

Aqmal Ezany

I write what is right

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.