Siakap Keli
Gambar: Bernama

Putrajaya Antara Lima Kawasan Catat IPU Sangat Tidak Sihat

KUALA LUMPUR, 16 Sept (Bernama) — Putrajaya menjadi kawasan terbaharu mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sangat tidak sihat pagi ini, dengan empat lagi kawasan turut mencatatkan IPU yang melebihi 201.

Berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) sehingga 9 pagi ini, Putrajaya mencatatkan bacaan 203 berbanding 199 pada pukul 7 pagi tadi.

Empat lagi kawasan yang mencatatkan bacaan sangat tidak sihat ialah Johan Setia Klang (208) di Selangor dan tiga kawasan di Sarawak iaitu Sri Aman (217), Samarahan (223) serta Kuching (248).

Jumlah stesen yang merekodkan bacaan tidak sihat di seluruh negara dengan IPU melebihi 101 pula sebanyak 29 kawasan.

Di Lembah Klang kawasan yang terjejas ialah Batu Muda (106), Cheras (156), Petaling Jaya (146), Shah Alam (155), Klang (138) dan Banting (161).

Tiga kawasan di Negeri Sembilan turut mencatatkan bacaan tidak sihat iaitu Nilai (170), Seremban (137) dan Port Dickson (135).

Turut merekodkan bacaan tidak sihat ialah  Alor Gajah (123), Bukit Rambai (127) dan Bandaraya Melaka (138) di Melaka selain Temerloh (162), Indera Mahkota Kuantan (176) dan Balok Baru Kuantan (145) di Pahang.

Kawasan lain yang turut mencatatkan IPU tidak sihat ialah Segamat (124) dan Tangkak (153) di Johor, Kemaman (147) dan Paka (117) di Terengganu serta Tawau (134) dan Sandakan (108) di Sabah.

Lapan kawasan di Sarawak yang mencatatkan IPU tidak sihat ialah ILP Miri (128), Miri (128), Samalaju (130), Bintulu (154), Mukah (129), Sibu (142), Sarikei (162) dan Sekolah Kebangsaan Kuala Baram 2 (103).

Sementara itu, 24 kawasan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak mencatatkan IPU sederhana.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.- BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.