Siakap Keli

Doktor Dedah Cerita Pemuda Aktif, Tak Merokok Tapi Hidap Sakit Jantung, Troponin Lagi Tinggi Dari Pesakit Di ICU

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Berdasarkan kajian pada 2014 yang dilaporkan oleh American Heart Association, penyakit kardiovaskular merupakan punca utama kematian secara global dengan lebih 17.6 juta kematian setahun pada 2016 dan dijangka akan meningkat melebihi 23.6 juta pada tahun 2030.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, purata umur pesakit jantung di Malaysia adalah 59 tahun, iaitu lima hingga enam tahun lebih muda berbanding pesakit di negara maju.

Katanya, kebanyakan faktor risiko penyakit ini berkait rapat dengan gaya hidup seseorang dan penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, darah tinggi, kolesterol tinggi, obesiti dan merokok.

Gambar hiasan. (Kredit: Penn Medicine)

Walaubagaimanapun, ada individu yang dilihat mempunyai risiko rendah mahupun mustahil untuk sakit jantung, namun masih terkena serangan jantung.

Pakar Perunding Kardiologi Hospital Pakar An-Nur, Dato’ Dr Oteh Maskon baru-baru ini berkongsi pengalamannya merawat seorang pesakit berusia awal 40-an yang mengalami serangan jantung walaupun mempunyai risiko rendah untuk sakit jantung. Jom baca perkongsiannya.

Diam-diam koronari, rupanya dah tak berisi

Tersentak aku.. Berpuluh tahun jadi doktor masih tak lekang dari mendapat kejutan di hujung minggu macam ni.
Pengunjung klinik seterusnya seorang lelaki muda baru melepasi umur 40 hadir untuk rawatan susulan. Sudah dua kali diperiksa sebelum ini – aku menulis dalam rekod – risiko rendah untuk sakit jantung.

Beliau pertama datang lebih sebulan lalu selepas beberapa hari mengadu sakit dada.

Semasa diperiksa sakit sudah tiada, ‘ECG‘ tidak menunjukkan petanda serangan jantung, ujian senaman ‘clear’. Beliau ada darah tinggi dan kolesterol, keduanya terkawal malah kolesterol rendah. Tiada sejarah keluarga, tak merokok. Keputusan ujian radang darah ‘hsCRP’ pun rendah. Patut lah aku tulis risiko rendah.

Ujian mengesan saluran koronari sempit

“Saya nak buat ujian Calcium Score” anjur ku, yang telah memesan ujian khas ini untuk beberapa ramai pesakit kerana ‘magic’ ujian ini yang dapat mengesan saluran koronari sempit.

Mendakan kalsium di dalam salur darah. (Kredit: Diagnostic Imaging Service)

Ujian ini lebih untuk mengesahkan keputusan stress test yang negatif. Kalau calcium 0, kemungkinan saluran koronari sempit adalah amat rendah.

Aku mulakan bicara “Tuan, kalau ikut ujian calcium ni tak berapa tinggi (kurang 100), tapi pada usia muda macam tuan ia dianggap agak tinggi..”

R mencelah “Doktor, semalam sakit dada tu datang balik, berpeluh saya.”

Aku pandang beliau, nampak ok saja. Datang pun sendiri dan tak nampak dalam kesakitan, malah setiap ayat diikuti senyuman.

Memang aku dah plan dalam kepala, congak-congak walaupun risiko rendah, kalau berlaku sakit dada lagi, dengan bacaan calcium yang lebih dari 0, memang patut buat angiogram atau menggunakan CT scan angiogram.

Tapi untuk hari ini, hmmm simptom berulang.

“Ada lagi ke sakit ni?” Tanyaku nak kepastian.

R menjawab sambil senyum,”Ada lagi doktor, masih terasa,” tak nampak langsung tanda-tanda sedang kesakitan. Mungkin sakit otot atau tulang dada biasa.

Ulang test kali kedua

Ulang kembali – stress test negatif, faktor risiko tak ada atau dah terkawal, tiada sejarah keluarga, kalsium pun taklah terlalu tinggi.

“Kita buat ECG hari ini, tambah test darah ye,” cadangku. “Tapi kena tunggu keputusan keluar.”

Berapa kali berlaku doktor tersilap, ‘miss’ diagnosis serangan jantung. Walaupun anak muda ni nampak tak mungkin ada heart attack, tapi ‘just to be on the safe side’ biarlah jelas. Ulang test yang penting, kalau negatif boleh pulang.

“Doktor, tak ada orang nak buat ECG ni, kita suruh pesakit balik dulu, datang kemudian ye,” saran pembantu klinik – beliau bertugas mengganti pembantu klinik tetap yang bercuti hari ini.

Aku geleng kepala.

“Mana boleh! Hantar pesakit ke Kecemasan sekarang untuk buat ECG. On the way tu, ambil darah dulu.”

“Baik doktor.” beliau akur, ish garang juga doktor ni, dengarnya baik tak pernah marah-marah – agaknya itu yang terngiang di benak beliau.

Lepas aku selesai makan tengahari, sedang sibuk mengurus pesakit lain di ICU, pembantu telefon beritahu ECG dah siap.

“Tolong check result darah sekali ye, dah siap saya datang.”

Selang beberapa minit beliau telefon lagi beritahu result siap. Aku habiskan kerja di wad.

Selesai di ICU aku berjalan menuju ke klinik, dalam hati fikir – tak lama ni, result keduanya negatif, boleh discaj pesakit, selesai tugas harini.

R duduk di sofa tenang menanti, aku ambil fail dari pembantu sambil berjalan menuju bilik konsultansi. Imbas pandang ECG nampak ok.

R ambil tempat semula dan duduk menunggu aku membuka mulut.

Tersentak aku bila pandang keputusan ‘troponin I’ – tak percaya! Tahap darah troponin beliau terlalu tinggi, malah lebih tinggi dari ketiga-tiga pesakit ku di ICU!!!

*Secara umum, troponin yang tinggi menunjukkan kerosakan pada jantung, berkemungkinan disebabkan saluran tersumbat atau tekanan terhadap organ tersebut. Namun, ada peningkatan troponin disebabkan kondisi lain selain masalah jantung.

“Ada heart attack,” jawabku mula memberi penerangan.

ECG ok, tapi ujian darah confirm heart attack. Mungkin sikit saja atau saluran kecil, jelasku pada R. Kebiasaannya begitu bila tiada perubahan ketara pada ECG ‘NSTEMI’ seperti ini.

Tapi jangkaan ku meleset sama sekali. Dalam usia muda, faktor risiko terkawal, tiada kencing manis, tak merokok, tiada sejarah keluarga, stress test negatif.. Penemuan angiogram jantung amat mengejutkan:

Dua saluran sumbat (block), satu lagi sempit.

Rawatan ‘angioplasty’ dijalankan untuk saluran sumbat ‘culprit’ yang menyebabkan heart attack, sebiji ‘drug-eluting’ sten dimasukkan ke saluran circumflex/OM. Dua saluran lagi ditangguhkan, untuk dirawat kemudian nanti atau mungkin kena bypass.

Rawatan angioplasti merupakan kaedah untuk ‘membuka’ saluran yang tersumbat. (Kredit: John Hopkins Medicine)

Hmmm tak sangka…diam-diam koronari, rupanya dah tak berisi…itulah pepatah pujangga hari ini.

Tuan-tuan, puan-puan, sakit jantung boleh mengenai sesiapa, malah pada usia muda. Kalau ada faktor risiko jantung, apatah lagi, jangan ambil ringan.

Jantung sihat, badan kuat, elok ibadat, dapat terus berbakti untuk umat.

Sumber: Oteh Maskon, American Heart Association, Bernama, My Heart

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.