Siakap Keli
Gambar: Bernama

Elakkan Kerap Diluar Rumah, Ini 6 Bahaya Jerebu Kepada Kesihatan Manusia

Jerebu yang melanda negara pada hari ini bukanlah sesuatu yang asing lagi. Ini kerana setiap tahun pasti akan ada kes yang sama sehinggakan ianya boleh dikategorikan sebagai musim yang harus dilalui oleh penduduk terutamanya di rantau Asia Tenggara ini.

Kesan pembakaran terbuka dan musim kering adalah antara punca kepada masalah jerebu ini. Hasil daripada itu, banyak hutan-hutan tebal yang terbakar lalu menghasilkan asap yang tidak sihat ke dalam udara yang dihirupi oleh manusia-manusia yang tinggal di rantau ini.

Pelbagai penyakit-penyakit akibat daripada masalah jerebu ini dicatatkan meningkat setiap hari. Bahkan, baru-baru ini ada yang terkorban akibat daripada kemelut jerebu ini. Udara yang dihirupi ketika musim jerebu ini merupakan udara yang tercemar dan tidak baik untuk kesihatan. Apakah kesan jerebu ini terhadap kesihatan kita? Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, ikuti artikel yang dikongsi oleh Hello Doktor seperti berikut:

Apa rasanya kalau bangun pagi dan diselubungi kabus? Pasti rasa segar dan nyaman, bukan? Tapi, bagaimana pula kalau bangun pagi dan diselubungi jerebu? Alamak! Tak seronok langsung. Pemandangan jadi terhad dan paling tak ‘best’ bila jerebu makin teruk menyebabkan segala aktiviti luar, terpaksa dihadkan.

Itulah keadaan yang kita alami sekarang ini. Berjerebu. Malahan sehingga jam 7 pagi tadi (17 September 2019), bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa tempat menunjukkan paras bacaan yang mengejutkan. Antara beberapa tempat yang mempunyai IPU tinggi adalah:

  • Manjung, Perak – 170
  • Wilayah Persekutuan Putrajaya – 178
  • Nilai, Seremban – 196
  • Port Dickson, Seremban – 207
  • Rambai, Melaka – 189
  • Johan Setia Klang, Selangor – 232
  • Klang, Selangor – 192
  • Sri Aman, Sarawak – 359
  • Kuching, Sarawak – 218

Punca jerebu

Masalah jerebu di Asia Tenggara dipercayai berpunca daripada kebakaran hutan di Indonesia dan sukar dikawal terutamanya sewaktu cuaca kering dan panas. Walau bagaimanapun, selain berpunca daripada kebakaran tersebut, keadaan ini juga dipercayai berlaku disebabkan oleh faktor perubahan musim, iaitu Monsun Barat Daya yang sedang berlaku.

Untuk pengetahuan umum, cuaca di Malaysia dicirikan oleh dua rejim monsun iaitu Monsun Barat Daya yang bermula dari akhir bulan Mei ke September, dan Monsun Timur Laut dari bulan November ke Mac.

Monsun Timur Laut membawa hujan lebat terutamanya kepada negeri-negeri di pantai timur Semenanjung Malaysia dan barat Sarawak, manakala Monsun Barat Daya secara relatifnya menunjukkan cuaca yang lebih kering. Tempoh peralihan di antara dua monsun ini dikenali sebagai musim perantaraan monsun.

Bukan pertama kali

Kalau diikutkan, ini bukanlah kali pertama ruang udara Malaysia ‘dicerobohi’ jerebu. Tahun 1983 merupakan tahun pertama cuaca ‘berasap’ ini melanda negara. Kemudian, diikuti pada tahun 1991, 1994, 1997, 2005, 2006, 2013, 2015 dan selepas itu boleh dikatakan setiap tahun Malaysia berjerebu.

Keadaan ini boleh dikira sebagai satu bentuk pencemaran udara. Ia boleh mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan manusia. Malahan, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah menamakan pencemaran udara sebagai risiko kesihatan alam sekitar terbesar di dunia.

Terdapat beberapa amalan kesihatan yang boleh diamalkan ketika berdepan dengan cuaca berjerebu ini, iaitu:

  • Ketahui keadaan jerebu semasa – Semak indeks pencemaran udara yang dilaporkan daripada masa ke masa untuk mengetahui tahap pencemaran udara di kawasan anda.
  • Lindungi diri anda daripada pencemaran – Jika paras IPU dalam julat berbahaya, iaitu 300 ke atas, elakkan keluar daripada rumah. Berada di luar boleh meningkatkan risiko penyakit paru-paru, serangan jantung, asma dan masalah kesihatan lain.
  • Pemakanan sihat – Ubah gaya permakanan anda untuk membantu paru-paru bertahan daripada kesan-kesan pencemaran udara. Beberapa kajian mendapati sesetengah makanan kaya vitamin boleh membantu badan anda menjadi lebih berdaya tahan. Paling penting, banyakkan minum air!

Jerebu dan efek kesihatan

Jangan tak percaya, cuaca berjerebu boleh bawa kesan kepada kesihatan. Terdapat beberapa masalah kesihatan yang berisiko untuk berlaku disebabkan cuaca ini, antaranya:

  • Kerengsaan atau iritasi pada bahagian badan yang terdedah kepada cuaca berjerebu, seperti kepedihan mata, hidung berair, bersin dan sakit tekak
  • Masalah kulit akan bertambah teruk
  • Menjejaskan jantung dan paru-paru, khususnya kepada individu yang mempunyai masalah kesihatan seperti penyakit jantung atau paru-paru, asma, COPD atau kegagalan jantung
  • Individu yang tinggal di kawasan yang terdedah dengan cuaca ini bagi tempoh yang panjang adalah berisiko untuk mendapat penyakit jantung seperti serangan jantung, masalah fungsi paru-paru serta berkemungkinan mengalami masalah pernafasan kronik seperti asma bagi kanak-kanak
  • Umumnya, kanak-kanak, individu lebih berusia dan mereka yang mempunyai penyakit paru-paru kronik, penyakit jantung adalah lebih sensitif kepada kesan cuaca ‘berasap’ ini
  • Wanita yang sedang hamil adalah amat disarankan untuk mengurangkan pendedahan kepada jerebu demi kesihatan bayi dalam kandungan

Jadi, musim-musim berjerebu ini, perbanyakanlah aktiviti dalam rumah atau di kawasan tertutup. Elakkan daripada membuat pembakaran terbuka. Cukuplah dengan ‘asap’ yang ada, tidak perlulah anda memburukkan lagi keadaan, okay?

Sumber: Hello Doktor

Aqmal Ezany

I write what is right

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.