Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Kes Cerai Libatkan Pasangan Islam Di Selangor Membimbangkan

Shah Alam : Kes penceraian melibatkan pasangan Islam di Selangor agak membimbangkan dengan jumlah pendaftaran permohonan cerai sebanyak 24,063 kes bagi tahun 2017 dan 2018.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata lebih 20 peratus daripada jumlah itu merupakan pasangan muda yang baru berkahwin.

“Mahkamah Syariah Negeri Selangor merekodkan  pasangan yang bercerai ini bukan sahaja terdiri daripada pasangan yang berusia malahan juga  pasangan muda yang kurang dari tempoh lima tahun berkahwin.

“Keadaan ini sudah tentu tidak boleh dipandang ringan oleh kerajaan negeri kerana jika tidak ditangani dengan baik, ia boleh mengganggu agenda kemajuan Selangor yang telah disusun,” katanya kepada sumber selepas merasmikan Seminar Perdana Kesedaran Undang-undang Syariah dan Pelancaran Dana Bantuan Nafkah di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud.

Amirudin berkata faktor kewangan dan tiada persefahaman antara pasangan menjadi antara punca utama masalah penceraian di negeri itu.

“Atas sebab itu, menerusi Belanjawan Selangor 2019, kita manfaatkan Insentif Perkahwinan Belia dalam bentuk lebih praktikal iaitu dengan melaksanakan kursus perkahwinan yang lebih komprehensif dan merangkumi pelbagai isu termasuk pengurusan kewangan dan emosi, “ katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri juga telah meluluskan Dana Bantuan Nafkah berjumlah RM100,000 bertujuan membantu ibu tunggal dalam menyara anak-anak.

Katanya dana itu akan diagihkan kepada mereka  yang layak dan yang telah memfailkan kes tuntutan nafkah terhadap bekas suami.

“Bagi wanita dan anak-anak yang telah memperoleh perintah nafkah daripada Mahkamah Syariah, tetapi pihak bapa atau suami ingkar atau cuai bayar nafkah, bantuan ini akan disalurkan sekiranya mereka layak dan dalam kategori miskin.

“…dan bantuan nafkah ini akan dibayar dalam tempoh enam bulan mengikut jumlah anak iaitu seorang anak akan diberi RM200 sebulan, dua ke tiga anak RM300, empat ke lima anak RM400 dan enam orang anak ke atas RM500,” katanya.

Amirudin turut menyeru badan korporat, syarikat swasta dan individu supaya turut sama-sama membantu kerajaan negeri dengan memberikan sumbangan mereka bagi membela wanita dan anak yang terabai di negeri ini.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.