Siakap Keli
Gambar Hiasan

TERKINI JEREBU: 201 Sekolah Di Selangor Ditutup Hari Ini

SHAH ALAM, 17 Sept (Bernama) — Sebanyak 201 buah sekolah di daerah Sepang, Hulu Langat, Kuala Langat, Klang dan Petaling Perdana ditutup setakat pukul 12 tengah hari tadi akibat keadaan jerebu yang semakin serius di Selangor.

Kementerian Pendidikan, dalam kenyataan hari ini memaklumkan penutupan sekolah itu melibatkan 52 buah sekolah di Sepang, Hulu Langat (62), Kuala Langat (21), Klang (27), dan Petaling Perdana (39).

“Seramai 240,447 pelajar terlibat dalam penutupan sekolah pada hari ini dan sebarang perubahan atau maklumat terbaru akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

“Pihak sekolah diingatkan supaya mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan dan mengutamakan kesihatan pelajar dan guru sepanjang masa,” menurut kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, sebanyak 151 sekolah diarah tutup hari ini berdasarkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) semalam manakala 50 sekolah lagi ditutup berdasarkan bacaan IPU pada pagi ini.

Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar setakat pukul 2 petang ini, bacaan IPU di Johan Setia adalah 236, Klang (196) dan Banting (183) dan Shah Alam (171).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

— BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.