Siakap Keli
GEORGE TOWN, 4 Sept -- Pemandangan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang kabur berikutan keadaan jerebu yang melanda di negeri ini. Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang dipaparkan di laman sesawang apims.doe.my menunjukkan bacaan IPU pada 1 petang tadi di kawasan Seberang Jaya 78, Seberang Perai 79, Minden 90 dan Balik Pulau 85. Kesemua empat kawasan berkenaan menunjukkan pada paras bacaan sederhana. --fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

19 Penerbangan Di Lapangan Terbang Pulau Pinang Terjejas Akibat Jerebu

George Town : Sebanyak 19 penerbangan keluar dan masuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP),  Bayan Lepas, dekat sini, terjejas ekoran jerebu semakin teruk dan jarak ketampakan rendah.

Pengurus Kanan LTAPP, Mohd Nadzim Hashim berkata, sehingga jam 5 petang ini, empat penerbangan terpaksa dibatalkan manakala lapan penerbangan mengalami kelewatan pelepasan.

Katanya, selain itu, dua penerbangan terpaksa berpatah balik ke lapangan terbang dan lima penerbangan mengalami kelewataan ketibaan serta dilencongkan ke lapangan terbang lain.

“Empat penerbangan yang dibatalkan adalah masing-masingnya dari Singapura dan Taipei serta penerbangan ke Singapura dan Taipei,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, penerbangan yang dilencongkan membabitkan dari Singapura dilencongkan ke Medan di Indonesia, dari Taipei dilencongkan ke Langkawi serta masing-masing satu penerbangan dari Bangkok, Hong Kong dan Taipei dilencongkan ke Kuala Lumpur.

Mohd Nadzim berkata kelewatan pelepasan ialah masing-masing satu satu penerbangan menuju  ke Singapura, Subang, Hong Kong dan  Bangkok dan dua penerbangan ke  Kuala Lumpur dan Medan.

Menurutnya, dua penerbangan dari Medan dan Kuala Lumpur juga terpaksa berpatah balik.

“Semua penerbangan itu terjejas ekoran jarak ketampakan yang rendah akibat jerebu. Jarak ketampakan dicatatkan dari menara tinjau adalah 1.6 kilometer (km) dan 2km di atas landasan,” katanya.

Katanya, pihaknya menjalankan pemantauan secara rapi termasuk memberikan maklumat serta maklum balas kepada penumpang dan pihak berkaitan.

Beliau berkata selain itu,  pihaknya turut memberikan minuman kepada penumpang terkandas manakala syarikat penerbangan memberikan kupon makanan kepada mereka.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.