Siakap Keli
Gambar: Bernama

Permintaan Bagi Topeng Jenis N95 Terus Meningkat

KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) — Permintaan bagi topeng jenis N95 terus meningkat sekaligus mengakibatkan stok dalam pasaran berkurangan kerana orang ramai lebih sedar akan kepentingan memakai topeng itu sebagai pelindung daripada jerebu yang menyelubungi sebahagian besar negara.

Walaupun terdapat pelbagai jenis penutup hidung dan mulut dalam pasaran, namun hanya topeng jenis N95 yang disyorkan Kementerian Kesihatan kerana mampu menapis sekurang-kurangnya 95 peratus daripada partikel yang berukuran 0.3 mikron dan ia lebih berkesan sekiranya dipakai dengan sempurna mengikut ukuran muka pemakainya.

Izzul Azri Mohd Asri, 23, menetap di Shah Alam berkata topeng jenis N95 agak sukar untuk diperoleh sama ada di farmasi-farmasi atau kedai terutama dalam kawasan bandar kerana mendapat permintaan yang tinggi buat masa ini.

“Awal minggu lepas, lebih senang nak beli topeng ini walaupun agak terhad. Tetapi, baru-baru ini kebanyakan kedai dan farmasi sudah pun kehabisan stok topeng jenis N95 ini,” katanya kepada Bernama.

Izzul Azri turut memaklumkan bahawa tidak ada sebarang kenaikan harga secara melampau, melebihi harga RM6 seunit seperti yang ditetapkan dalam senarai barangan kawalan untuk topeng jenis N95.

Sementara itu, Zulsyahmi Rahman, 23, yang menetap di Klang turut menyuarakan kekesalan kerana gagal mendapatkan stok topeng itu untuk kegunaan diri dan keluarga.

“Adik saya yang berusia 7 tahun terpaksa memakai topeng muka pembedahan sebab kami tidak dapat membeli topeng jenis N95 kerana selalu kehabisan stok. Adik saya mula batuk-batuk dan demam akibat itu,” katanya.

Beliau memberitahu walaupun topeng jenis N95 sukar untuk diperoleh, topeng muka pembedahan lebih mudah untuk didapati kerana orang ramai sedar akan keperluan untuk menggunakan topeng jenis N95 bagi melindungi diri mereka daripada kesan jerebu dan menghindar penyakit.

Dalam pada itu, usaha sebahagian syarikat korporat untuk memberi topeng jenis N95 secara percuma kepada orang ramai dan pekerja perlu dicontohi.

Pelajar salah sebuah universiti awam di Shah Alam, Siti Nur Akma Abdol, 22, berkata beliau mendapat topeng jenis N95 secara percuma di stesen minyak berhampiran kawasan universiti.

Pekerja swasta sebuah syarikat di Kajang Muhammad Nabil Ab Rahim, 23, berkata syarikatnya menyediakan topeng itu untuk kegunaan pekerja secara percuma.- BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right