Siakap Keli
Gambar: Youtube/The dodo

(Video) NGO Kongsi Keadaan Orangutan Alami Masalah Pernafasan, Dakwa Berpunca Daripada Jerebu

Asap jerebu bertoksik yang tercetus melalui kebakaran hutan di Indonesia kini didapati telah memberi kesan kepada kesihatan spesis orangutan yang terancam di Borneo, lapor persatuan kebajikan haiwan.

Kebakaran hutan yang semakin teruk telah memusnahkan habitat asal orangutan Indonesia serta telah melepaskan sejumlah besar carbon ke dalam atmosfera bumi.

Kalimantan adalah salah satu rumah bagi orangutan di rantau ini. Orangutan, yang juga berasal daripada kepulauan Borneo itu merupakan salah satu spesis yang terancam, lapor Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa.

Menurut sebuah NGO, Borneo Orangutan Survival Foundation (BOS), jerebu ini turut memberi kesan yang buruk terhadap orangutan yang berada di bawah penjagaan mereka.

“Sebanyak 37 orangutan didiagnos mengalami jangkitan pada saluran pernafasan.”

“Asap tebal bukan sahaja membahayakan kesihatan kakitangan kami, malah ianya turut memberi kesan kepada 355 ekor orangutan yang dijaga di pusat pemuliharaan kami,” lapor yayasan tersebut dalam satu kenyataan.

Selain daripada itu, keadaan alam sekitar di pusat pemuliharaan yayasan tersebut yang terletak di timur Kalimantan dilaporkan sangat teruk sehinggakan aktiviti luar bagi haiwan tersebut terpaksa dihadkan selama beberapa jam sahaja dalam sehari.

Orangutan, yang lazimnya terdapat di Indonesia dan Malaysia, adalah merupakan salah satu spesis yang hampir pupus.

Populasi orangutan yang dicatatkan pada tahun 1973 sehingga kini menurun daripada 288,500 ke kira-kira 100,000.

Bukan sahaja ancaman daripada penebangan hutan yang membuatkan mereka semakin pupus, malahan masalah pencemaran udara yang berlaku kini turut dilaporkan menjadi salah satu punca kepupusan spesis itu.

Sumber: mothership

Aqmal Ezany

I write what is right

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.