Siakap Keli

Timbul Banyak Persoalan Kes Cerai Kebelakangan Ini, Peguam Syarie Kongsi Jenis Cerai Yang Ramai Tak Faham

Penceraian rumah tangga merupakan satu keputusan yang dibuat oleh pasangan suami isteri apabila hubungan mereka sudah tidak sehaluan dan sering timbul pelbagai masalah seperti perselisihan pendapat.

Walaupun agama Islam tidak menggalakkan penceraian, namun perkara ini dilihat semakin menjadi-jadi dalam masyarakat pada hari ini. Menerusi perkongsian oleh seorang peguam syarie, Fahmi Ramli, penceraian mempunyai pelbagai jenis yang boleh dituntut terutamanya bagi seorang isteri.

Jenis Cerai Yang Anda Kena Tahu

Ada permintaan daripada follower. Katanya ramai wanita tak tahu apa yang perlu dibuat dan apa jenis perceraian yang ada di dalam undang-undang Keluarga Islam untuk dituntut. Ada beberapa jenis, namun, setiap daripadanya mungkin ada perbezaan dan ada yang tidak dipraktikkan di Mahkamah dan sebilangan Mahkamah. Jadi, saya akan senaraikan untuk memudahkan anda faham dan tahu jenis-jenis perceraian ini secara mudah dan terperinci bagi membantu golongan wanita khasnya bagi memahami tentang perceraian.

Perceraian Dengan Talaq

Ini adalah perceraian yang kita sebut perceraian secara biasa. Maksudnya, jika pihak-pihak hendak bercerai, suami perlu melafazkan cerai tersebut di dalam Mahkamah. Ini proses yang betul, bukan bercerai di rumah, restoran, masjid atau mana-mana tempat yang lain. Di dalam undang-undang Keluarga Islam Negeri selalunya terletak di bawah Seksyen 47. Tiada masalah untuk mana-mana pihak memfailkan perceraian ini. Sama ada suami atau isteri berhak untuk failkan.

Jika, suami yang failkan, maka Mahkamah tidak perlukan kebenaran isteri untuk melafazkan cerai. Kerana kuasa talaq sememangnya terletak pada tangan suami. Cuma, Mahkamah bimbang jika sekiranya isteri itu tidak hadir, cerai tersebut berlaku pada ketika isteri dalam keadaan haid. Ini kerana hokum bercerai di dalam keadaan haid tersebut adalah talaq bid’ie (ditegah).

Jika sekiranya, isteri yang failkan perceraian, maka, sememangnya perlukan kepada kehadiran suami. Mahkamah amat memerlukan kepada kehadiran suami bagi meneruskan kes ini. Jika, suami tidak hadir atau enggan menceraikan isterinya, pihak Mahkamah akan melantik Jawatankuasa Pendamai di bawah seksyen 47(5) dan disusuli dengan proses Hakam jika sekiranya kes pihak-pihak ini gagal.

Proses ini memerlukan kerjasama daripada pihak-pihak dan mengambil tempoh tertentu. Peguam tidak boleh terlibat dengan proses ini dan peguam juga jarang dilantik untuk kes perceraian ini melainkan pihak-pihak yang berkeinginan sahaja untuk melantik.

Perceraian Ta’liq

Cerai ini adalah terletak di bawah Seksyen 50(1) Enakmen Keluarga Islam iaitu berdasarkan kepada perakuan Ta’liq selepas akad nikah yang terletak di belakang sijil nikah misalnya. Kebanyakan negeri ada lafaz ta’liq ini tetapi tidak bagi mereka yang berkahwin di Negeri Perlis khususnya.

Jangan salah faham dengan lafaz ta’liq yang suami lafaz macam ni “Kalau hang keluar dari rumah ni jatuh talak”. Ini bukan maksud sebenar kes perceraian ta’liq. Ia akan jadi kes pengesahan lafaz cerai (akan diterangkan). Ta’liq ini bermaksud janji. Jadi, suami yang melafazkan ta’liq selepas akad nikah itu adalah dikira sebagai lafaz janji.

Jika, sekiranya suami telah melanggari apa-apa ta’liq yang telah dinyatakan di dalam lafaz ta’liq nikah, maka, isteri mesti membuat tuntutan perceraian ta’liq dan mestikan buktikan dakwaan yang jelas kepada Mahkamah. Kes ini akan melalui proses bicara dihadapan hakim. Selalunya Mahkamah akan arahkan untuk pihak-pihak yang menuntut ini melantik peguam untuk membuktikan tuntutan mengikut proses dan prosedur Mahkamah dan kehendak Hukum Syarak.

Perceraian Fasakh

Fasakh adalah satu bentuk perceraian yang satu-satunya di dalam undang-undang keluarga Islam yang ada peruntukannya atas beberapa alasan yang boleh isteri memfailkan tuntutan ini. Ada sesetengah orang bertanya, kalau suami tak setuju untuk fasakh macam mana?

Jawapannya, fasakh tidak perlukan persetujuan suami. Fasakh ini perlu dituntut, didakwa dan dibuktikan oleh pihak yang menuntut tanpa perlu persetujuan suami.

Ada banyak dakwaan yang boleh dituntut untuk membolehkan fasakh ini disabitkan. Mahkamah berkuasa penuh untuk membubarkan suatu perkahwinan jika sekiranya Mahkamah merasakan bahawa suami atau isteri perlu dipisahkan. Contoh yang selalu digunakan untuk alasan fasakh adalah tidak dapat nafkah lebih daripada 3 bulan, suami pukul, suami terlibat dengan dadah, suami tak beri nafkah batin selama 1 tahun dan lebih dan lain-lain lagi.

Semua alasan fasakh ini adalah tertakluk di bawah Seksyen 53(1) Enakmen Keluarga Islam Kedah 2008. Bukan isteri sahaja boleh tuntut fasakh, suami juga boleh buat tuntutan fasakh. Cuma, jarang la berlaku sebab lafaz talaq ada pada suami.
Fasakh banyak difailkan kerana ia merangkumi skop perbicaraan yang lebih luas Cuma ia berat untuk dibuktikan.

Khususnya, bila isteri tidak ada sebab yang khas untuk berpisah seperti hati tidak boleh terima suami dan melibatkan dengan perasaan dalaman. Maka, tuntutan fasakh adalah bersesuaian namun ia mestilah dibuktikan dengan bukti yang kuat dan jelas untuk menunjukkan bahawa rumahtangga pihak-pihak sudah tiada mawaddah wa rahmah.

Cerai Khulu’/ Tebus Talak

Tebus talak adalah isteri membayar sejumlah wang atau apa-apa yang bernilai kepada suami sebagai bayaran untuk suami menceraikannya. Seperti yang saya pernah jelaskan sebelum ini, tidak ada garis panduan yang tepat untuk menuntut perceraian secara tebus talak. Pada asasnya ia adalah tertakluk di bawah Seksyen 49 Enakmen Keluarga Islam Kedah 2008.

Sebaiknya, cerai secara tebus talak ini perlu mendapat persetujuan daripada kedua-dua pihak tentang jumlahnya. Jika pihak-pihak tidak bersetuju dengan jumlah, maka, Mahkamah boleh mentaksirkan jumlah yang bersesuaian mengikut hokum syarak kepada isteri untuk membayar. Namun, Mahkamah tidak boleh memaksa isteri untuk membayar dan suami untuk terima.

Jika tiada penyelesaian, kes ini akan dipanjangkan macam kes seksyen 47, iaitu, ia akan dibawa kepada Jawatankuasa Pendamai dan begitulah seterusnya. Jadi, sebaiknya perlu ada persetujuan. Ada keadaan tebus talak ini boleh juga jadi ketika suami dan isteri setuju nak cerai tetapi isteri dalam keadaan haid. Jadi, Mahkamah boleh benarkan perceraian tersebut sekiranya dilakukan dengan tebus talak dengan apa-apa bayaran bagi menyelesaikan kes tersebut atas persetujuan pihak-pihak.

Cerai Li’an

Jika seorang suami menuduh isterinya berzina, dia akan dikenakan hukuman Qazaf, jika ia tidak dapat membuktikan tuduhan dengan membawa 4 orang saksi. Dalam keadaan ini, suami boleh menggunakan cara li’an untuk mengelakkan hukuman ke atasnya.

Jika pihak-pihak kepada suatu perkahwinan telah bersumpah secara li’an mengikut Hukum Syarak di hadapan Hakim Syarie, Hakim Syarie itu akan memerintahkan mereka farak dan dipisahkan dan tinggal berasingan selama-lamanya. Ini adalah terletak di bawah seksyen 51 (1) Enakmen Keluarga Islam.

Kes ini jarang berlaku dan mungkin tidak dipraktikkan oleh Mahkamah kerana ia akan melibatkan dengan kes pendakwaan jenayah Islam. Tambahan, ia akan memberikan kesan yang buruk kepada suami yang menuduh isterinya berzina tapi tak boleh buktikan di Mahkamah akan dikenakan hukuman berat pula kepada suami tersebut.

Jadi, ini antara yang ada di dalam undang-undang. Dan pada kebiasaan, isteri yang akan menjadi penuntut pada majoriti keadaan. Dan ada banyak situasi, perkahwinan yang telah masuk ke dalam Mahkamah ini akan mengalami perceraian. Ini bukan kehendak peguam dan bukan juga kehendak Mahkamah. Peguam dan Mahkamah hanya membantu pihak-pihak menuntut, membuktikan dan membuat keputusan atas tuntutan dan apa fakta yang telah berlaku di dalam rumahtangga pihak-pihak.

Jika sekiranya perpisahan itu adalah jalan yang terbaik, maka, bertawakal lah kepada Allah. Insya allah, semua ketentuan hidup, mati, jodoh terletak di tangan Allah. Share untuk kongsi manfaat.

Bercerai Itu Makruh, Tapi Kalau Jodoh Takat Tu Nak Buat Lagumana
Fahmi Ramli

Sumber: Fahmi Ramli

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa

Nur Farra