Siakap Keli
Gambar: BERNAMA Radio

Pengguna Diminta Cuci Topeng Muka Selepas Guna 4 Jam, Kuman Terkumpul Boleh Undang Penyakit Lain

Orang ramai yang menggunakan topeng muka semasa musim jerebu ini disarankan untuk menukar atau mencuci topeng muka selepas menggunakannya selama empat hingga enam jam bagi mengelakkan diri daripada dijangkiti penyakit lain.

Pengerusi Panel Klinik Kesihatan Kebangsaan Kementerian Kesihatan Datuk Dr R. Kannan menyatakan bahawa tempoh luput sesuatu topeng itu bergantung pada kualiti bahan yang digunakan.

Menurutnya, orang ramai berisiko terdedah kepada penyakit lain sekiranya topeng yang digunakan itu tidak dicuci atau tidak ditukar kerana kuman yang terkumpul pada topeng itu boleh menjurus kepada masalah lain pula.

“Tengok keadaan macam mana dia (orang ramai) pakai. Kalau dia pakai lama, elok hanya empat jam sahaja sebab lepas empat jam, mungkin akan ‘generate’ kuman dan sebagainya.

“Kadang-kadang ada orang pakai sampai dua ke tiga hari, itu tidak elok,” katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, Dr Kannan turut memohon supaya orang ramai menggunakan topeng jenis N95 dan bukan topeng pembedahan seperti yang selalu digunakan.

“Pakai mask N95, kerana 95 peratus ia akan hadang habuk-habuk ketika jerebu ini. ‘Surgical mask’ tak berapa sesuai,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya minum air yang secukupnya bagi mengelakkan hidrasi. Lebih baik jika pengambilan air dalam sehari itu digandakan lagi.

“Biasanya kita cakap lapan gelas (pengambilan air), kalau boleh dapat gandakan minuman tu, apa yang diminum setiap hari, gandakan sahaja sebab lagi banyak minum air, lagi banyak dapat bersihkan paru-paru kita dan sebagainya,” katanya sambil menyarankan orang ramai supaya mengurangkan aktiviti luar.

Kualiti udara yang dicatatkan pada hari ini bertambah baik secara keseluruhannya. Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di negara ini yang dilakukan pagi tadi menunjukkan bahawa tiada satu kawasan pun yang mencatatkan bacaan lebih daripada tahap sangat tidak sihat.

Akibat daripada jerebu yang melanda negara, banyak sekolah ditutup dan pelbagai aktiviti serta majlis di seluruh negara terpaksa ditangguhkan.

Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

– BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.