Siakap Keli

Cara Mudah Nak Menghafaz Al-Quran, Perkongsian Daripada Guru Cemerlang Tahfiz

Bila sebut tentang hafazan atau menghafal ayat-ayat Suci Al-Quran pasti ramai yang takut dan ada yang mengalah awal. Mungkin bagi mereka ia sukar walaupun setiap hari kita membacanya. Bukan apa, cuma takut salah sebut yang akan mengakibatkan salah makna.

Bahkan kini, mengaji Al- Quran lebih mudah dengan bantuan teknolgi masa kini. Tetapi, mungkin ada yang lebih mudah dengan tips yang bakal dijelaskan oleh Guru Cemerlang ini.

Ustaz Badrulhanif bin Sulaiman, Guru cemerlang tahfiz dari SMK Agama Kedah, Sekolah Tahfiz Model Ulul Albab ini berkongsi di laman Facebooknya bagaimana beliau menerapkan kaedah mudah hafaz ini terhadap pelajar-pelajar beliau sehingga bergelar para alhafizah.

Nak Hafaz alQuran ? Jangan mudah mengalah, belum cuba belum tahu.

Ramai yang sering patah semangat dipermulaan langkah mengenali dunia penghafaz alQuran, namun tahukah anda akan teknik yang mudah dan cepat untuk anda menghafaz al-Quran.

Katanya, anda perlu mencuba kaedah visual learning. Kebiasaannya, pelajar akan lebih mudah merakam ayat yang dibaca dengan berfokus.

Peranan mata, mulut dan otak akan saling bekerjasama pada peringkat awal pembikinan visual. Otak akan memaparkan gambaran yang telah direkodkan melalui pembacaan mulut dan penglihatan mata seperti yang diminta oleh otak.

Ini langkah-langkah yang perlu anda ikuti;

1. Langkah Pertama

Buka halaman Mushaf al-Quran yang belum pernah anda hafaz, kemudian lihat pada potongan ayat dari baris yang pertama atau ayat yang pertama.

2. Langkah Kedua

Baca ayat tersebut dengan memfokuskan setiap huruf serta tanda dengan terperinci secara melihat dan suara yang sederhana sehingga selesai ayat atau barisan tersebut.

Teruskan bacaan, dan fokus pada ayat tersebut sebanyak 10 kali.

Suka untuk ustaz ingatkan di sini, jangan sesekali mengalihkan tumpuan anda pada ayat lain. Cubaan menghafaz juga akan membuatkan anda gagal mengingat seandainya anda mengalihkan fokus bacaan pada ayat tersebut.

3. Langkah Ketiga

Fokus pada ayat, dan cuba tutup pandangan mata anda. Ketika itu pasti otak anda akan menghantar gambaran ayat yang telah anda ulang baca secara berfokus tadi.

Kemudian baca kembali ayat tersebut berdasarkan gambaran yang telah direkodkan oleh otak anda. Sekiranya berlaku kekaburan pada gambaran, lihatlah kembali hanya pada ayat atau kalimah yang kabur itu.

4. Langkah Keempat

Ulang langkah yang sama untuk ayat seterusnya.

Menarikkan, satu ayat tak sampai 1 minit, andai 30 minit agaknya dah berapa ayat  yang anda dapat hafaz. Selamat mencuba! 

Semoga kita semua dapat menghafal kitab suci Al- Quran, walaupun bukan untuk pertandingan tetapi untuk kehidupan harian kita sebagai kahlifah di muka bumi ini.

Sumber: EL Haneeff

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang