Menurut media tempatan, jarum ditemui dalam strawberi yang dibeli dari sebuah pasar raya do Melbourne dan dilaporkan kepada pihak berkuasa pada 10 September. Pada Isnin, satu lagi kes baharu dilaporkan.
Bercakap kepada Radio 3AW, seorang penduduk tempatan David Chapman berkata anak perempuannya berusia 30 tahun terpaksa dikejarkan ke hospital selepas memakan strawberi berkenaan.
“(Dia) gigit buah strawberi itu dan terdapat jarum besar melekat padanya. Dia sangat terkejut,” katanya.
Disebabkan rasa tidak selesa di dalam kerongkongnya, Chapman berkata, “kami telah membawanya ke hospital dan melakukan ujian sinar-X dan mengesahkan bahawa ia bukan logam tetapi ada sesuatu benda lain di dalam tekaknya.”
Lebih 200 kejadian berlaku pada penghujung 2018, skandal itu menyebabkan sektor strawberi Australia terjejas teruk.
Dianggarkan kerugian bernilai AU$12 juta apabila semua produk itu di seluruh negara ditarik balik, petani berharap musim kali ini akan kembali seperti biasa memandangkan pelaku telah didakwa. Namun, insiden itu kini seolah-olah menjadi ancaman kepada pengguna Australia.
Polis sedang menyiasat kejadian itu.