Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Rumah, Kenderaan Dipercayai Dibakar Sekumpulan Lelaki

Ipoh : Lapan sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah papan setingkat yang didiami sejak 30 tahun lalu musnah terbakar dalam kejadian di Jalan New Delhi, Kampung Baru Buntong, di sini kira-kira pukul 8 malam tadi.

N. Nineswari, 29, berkata beliau yang tidak berada di rumah ketika kejadian mendapat panggilan daripada jirannya yang memaklumkan rumah yang didiaminya serta empat buah kenderaan musnah dipercayai dibakar oleh sekumpulan lelaki.

Anak sulung daripada enam beradik itu berkata beliau juga mendapat panggilan daripada adik perempuannya memberitahu ibunya, M. Abiramy, 44, pengsan akibat terkejut apabila ternampak sekumpulan lelaki memecahkan kereta jenis Honda Accord milik salah seorang anak lelakinya.

“Ibu saya disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh kira-kira pukul 8.30 malam. Semasa kejadian (kebakaran), tiada orang di rumah dan kami tidak sempat menyelamatkan apa-apa barangan dan dokumen penting.

“Saya berharap pihak polis dapat menangkap individu yang melakukan perbuatan ini (membakar rumah),” katanya ketika ditemui sumber di lokasi kejadian di sini hari ini.

Seorang jiran yang enggan dikenali berkata beliau ternampak empat orang lelaki menaiki dua buah motosikal bertindak memecahkan sebuah kereta yang berada di hadapan rumah tersebut.

“Saya menyaksikan sendiri kejadian itu kira-kira pukul 7 malam dan sejam selepas itu, sekumpulan lelaki yang sama datang semula ke rumah itu dan bertindak memecahkan pelbagai barangan sebelum membakar rumah tersebut namun tidak berani berbuat apa-apa, hanya mampu melihat sahaja kejadian itu kerana terlalu takut,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Supt Mohamad Nordin Abdullah dalam satu kenyataan berkata hasil siasatan mendapati sebelum kejadian itu, anak lelaki mangsa, N. Thana Seelan, 23, telah bergaduh dengan seorang lelaki di sebuah kuil di Jalan Spooner, di sini, kira-kira pukul 5 petang hari yang sama.

“Pergaduhan itu berpunca daripada perselisihan faham antara mereka disebabkan anak lelaki mangsa dikatakan telah menyembunyikan beberapa ekor lembu milik lelaki berkenaan,” katanya.

Beliau berkata pihaknya sedang mengesan kesemua suspek yang terlibat dengan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kematian secara cuai atau membunuh tanpa niat.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buntong, A. Sivasubramaniam ketika ditemui pemberita berkata pihaknya akan menghulurkan bantuan kepada keluarga tersebut bagi tujuan urusan pengebumian mangsa.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.