Siakap Keli

”Tiada Harapan Lagi Tapi Keluarga Rahsiakan Sebab Tak Sanggup,” Pelamin Impianku Musnah Sekelip Mata

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Rezeki, jodoh dan ajal semuanya telah ditetapkan oleh Allah SWT. Sekuat mana pun kita merancang, andai sudah tertulis takdir sebaliknya, siapalah kita sebagai manusia untuk menidakkan ketentuan Allah.

Seperti ujian yang menimpa pemuda ini, Mohamad Aidil Haiqal Noraman, 20, apabila pelamin impian yang mahu dibina bersama pasangannya Nur Jannah Jahari, 19, musnah setelah pemergian gadis itu pada 24/9/2019.

Rancang mendirikan rumah tangga tahun hadapan

Mereka sudah merancang mendirikan rumah tangga pada tahun hadapan setelah mengikat tali pertunangan pada 31/8/2019.

Saudara Aidil, Aina Nabilah ketika dihubungi Siakap Keli berkata, Nur Jannah dibawa ke hospital Kluang oleh keluarganya pada 11/9/2019 lalu kerana mengalami sakit perut yang teruk.

Doktor mengesahkan terdapat ketumbuhan pada perut gadis itu dan kemudiannya terus melakukan pembedahan pada 12/9/2019. Ketika selesai, doktor yang merawat memberitahu bahawa ketumbuhan Nur Jannah sudah pecah dan merebak ke semua bahagian perut.

Tiada harapan untuk hidup

Doktor menyatakan bahawa Nur Jannah sudah tidak mempunyai harapan lagi untuk hidup dan dia hanya mampu bertahan sekitar dua minggu atau sebulan sahaja.

Walau bagaimanapun, menurut Aina, ahli keluarganya merahsiakan perkara tersebut daripada pengetahuan Nur Jannah yang merupakan anak perempuan tunggal dalam keluarga kerana bimbang akan keadaan gadis itu.

Nur Jannah bukan sahaja dilihat menunjukkan perkembangan positif selepas pembedahan malah juga mampu duduk dan berborak dengan ahli keluarga lain.

Mula tak sedarkan diri dua hari lepas

Namun, kata Aina, dua hari lepas Nur Jannah mulai tidak sedarkan diri dan keadaannya bertambah buruk.

Benarlah ramalan doktor sebelum itu, genap hari ke-14 setelah pembedahan, Nur Jannah telah dijemput pulang ke pangkuan Ilahi pada 24/9/2019 kira-kira jam 7.30 malam di Hospital Kluang.

Berita pemergian Jannah telah dikongsikan oleh Aina Nabilah menerusi akaun Twitter. Moga roh arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Amin.

Rata-rata netizen yang terkesan dengan berita tersebut, turut menzahirkan rasa sedih atas pemergian gadis itu. Mereka menyampaikan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa agar bertabah dengan ujian yang diterima.

 

Sumber : ainaaa

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.