Siakap Keli
Gambar: Suara Perak

Wanita Maut Rumah Dihempap Pokok Kelapa

BERUAS, 25 Sept (Bernama) — Seorang wanita maut selepas rumahnya ditimpa pokok kelapa setinggi 15 meter yang tumbang di Jalan Matang Kurau, Kampung Sungai Batu, Pantai Remis di sini, semalam.

Dalam kejadian 6 petang itu, Ramlah Sipar, 52, meninggal dunia sebaik tiba di wad kecemasan Hospital Seri Manjung untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Muhammad Hanif Othman berkata kejadian berlaku semasa ribut berserta hujan lebat dan angin kencang.

Katanya berdasarkan keterangan anak mangsa, ibunya dikatakan sedang mengambil baju yang disidai di hadapan rumah yang berbumbung.

“Tiupan angin kencang telah menyebabkan satu pokok kelapa tumbang dan menghempap bumbung serta mangsa. Bomba telah sampai di tempat kejadian dan membantu memotong pokok dan mengeluarkan mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Muhammad Hanif berkata mangsa yang cedera kemudian dihantar ke Klinik Kesihatan Pantai Remis sebelum dibawa ke wad kecemasan Hospital Seri Manjung (HSM) dengan ambulans.

“Sebaik tiba di wad kecemasan mangsa disahkan sudah meninggal dunia dan bedah siasat dijalankan di Unit Forensik HSM pagi ini,” katanya.

— BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.