GUA MUSANG, 26 Sept (Bernama) — Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Program Bekalan Air dan Kebersihan Alam Sekeliling (BAKAS) sudah membina 385 pusat bekalan tadahan air bukit untuk keperluan 90,574 penduduk luar bandar di Kelantan.
Jurutera Kesihatan Umum, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan Harizah Hamzah berkata pembinaan projek bekalan tadahan air bukit bermula 1985 itu sebahagiannya dinikmati penduduk di Gua Musang, Kuala Krai, Jeli dan Machang.
“Kawasan terpilih bagi melaksanakan projek tadahan air bukit membabitkan kampung yang tidak mempunyai bekalan air bersih terawat.
“Sebanyak 13 projek baharu tadahan air akan dilaksanakan di seluruh negeri pada tahun ini dengan lapan daripadanya dibina di kawasan pedalaman yang tidak mempunyai bekalan air bersih terawat,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Projek Tadahan Air Bukit di Kampung Kuala Lah, Bertam di sini, hari ini.
Harizah turut merasmikan Majlis Penutup Kursus Hands-On Reka Bentuk dan Pembinaan Gravity Feed System (GFS) di bawah Program BAKAS peringkat Negeri Kelantan di kampung sama.
Mengulas mengenai kursus itu, Harizah berkata peserta terdiri daripada penduduk kampung akan menyertai projek membina pusat tadahan air bukit secara gotong-royong sejak Ahad lepas bersama kakitangan Jabatan Kesihatan Kelantan.
Beliau berkata pembinaan pusat tadahan air itu bagi menggantikan yang sedia ada setelah tidak dapat menampung keperluan penduduk yang semakin bertambah.
“Projek itu bernilai RM20,000 untuk keperluan 45 penduduk membabitkan 22 keluarga,” katanya.
Sumber: Bernama