Siakap Keli
Gambar hiasan

”Aku Bayang Yakjuj Makjuj Keluar, Aku Jadi Takut”, Otak Celaru, Kisah ‘Kelam’ Penghidap Bipolar Dissoder Sebelum Bertaubat

Masalah mental bukanlah sesuatu yang asing lagi didalam dunia yang semakin berkembang pesat dan maju ini. Masalah mental ini juga sering dikaitkan dengan tekanan yang melampau terhadap diri seseorang itu sehinggakan ianya memberi kesan ke atas pemikiran mereka.

Terdapat pelbagai penyakit mental yang semakin hangat berlaku di dalam kalangan masyarakat kini antaranya ialah kemurungan, kebimbangan yang melampau, schizophrenia dan banyak lagi.

Apakah penyebab kepada penyakit mental ini? Penyebabnya masih lagi tidak diketahui dengan tepat. Namun begitu, terdapat beberapa faktor yang ang menyumbang kepada terjadinya penyakit mental ini antaranya ialah faktor genetik/keturunan, gangguan bahan kimia dalam otak, sejarah hidup yang getir serta faktor kemiskinan.

Justeru daripada itu, kita sebagai insan yang tidak pernah diduga dengan penyakit ini seharusnya bersyukur kerana jika ianya terjadi pada diri kita mahupun pada orang yang dekat dengan kita, pastinya kita juga akan lebih sedar tentang kesengsaraan yang dilalui oleh orang yang diduga tersebut.

Seperti yang telah dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook yang bernama Hanan Mikhael Azman ini, dia ada berkongsikan tentang pengalamannya dalam menghidapi sejenis penyakit mental yang dikenali sebagai bipolar disorder. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut apa itu bipolar disorder serta bagaimana pengalamannya sepanjang menghidapi penyakit itu, ikuti perkongsiannya seperti berikut:

Sebelum mulakan cerita, aku nak pesan supaya jangan ada salah faham tentang kisah ini. Ia adalah secebis pengalaman aku sebagai seorang pesakit bipolar disorder. Setiap orang pengalaman kami berbeza.

Dalam dua tahun lepas aku kerap dilanda manic. Selalunya bila manic atau hypomanic aku akan jadi a bit extreme dengan perkara perkara tertentu. Otak akan berfungsi agak berbeza dari biasa. Ia kerana masalah chemical imbalance dalam otak.

Sebab itu kalau anda nak tahu kebanyakan pesakit bipolar mempunyai pelbagai habit yang agak janggal dari kebiasaan bila dilanda manic. Bila manic aku akan bercakap banyak dan laju semacam. Pelbagai idea berputar laju dalam fikiran. Terlalu laju hingga tak boleh tidur berhari hari. Kalau tidur pun dua ke tiga jam sahaja sehari. Tenaga berlebihan. Keyakinan berlebihan. Jadi hyperaktif. Rajin yang melampau.

Kadang kadang datang idea gila dan kreatif.

Ada yang sampai buat tatoo, bertindik, botakkan rambut, gunting rambut dengan gaya extreme, warnakan rambut dengan kaler yang pelik pelik, berdandan luar biasa dari kebiasaan, bershopping hingga di luar batasan, membeli benda yang tidak sepatutnya tanpa berfikir tentang harga, berkata dan menulis sesuatu diluar kawal.

Pernah ada seorang kawan aku yang pernah dikecam murtad dan sesat kerana mengeluarkan statement keagamaan dan mengulas isu freemason. Satu masa dulu pernah viral di blog blog dikecam hebat. Masa tu facebook belum berkembang macam sekarang. Kalau type nama dia masih ada di kecam di blog blog.

Otak kami berfungsi dengan agak pelik pada ketika ini. Thoughts kami berbeza dari biasa.

Malah pernah ada kawan aku yang ditangkap polis dan dihadapkan ke mahkamah kerana membuat kekecohan semasa berada di hadapan mahkamah semasa satu kes politik. Kes ini agak kontroversi, tetapi alhamdulillah beliau dibebaskan dari tuduhan kerana didapati menghidap bipolar dan berada dalam fasa manic pada ketika itu. Maka dia bebas dari pertuduhan.

Selalu nya perkara ini akan berlanjutan dalam dua minggu ke atas. Ia dikategorikan sebagai fasa ‘manic’. Jika kurang extreme ia dipanggil ‘hypomanic’. Iaitu pemikiran manic yang sederhana.

Aku pernah alami beberapa kali fasa manic yang agak extreme. Dulu aku suka buat style rambut lain dari yang lain, warna rambut dengan kaler yang terang gila. Bertindik selain di telinga. Shopping di luar batasan hingga aku pernah beli 3 jaket berjenama yang harga ratusan ringgit sehelai. Patern dan corak yang sama tapi warna yang berlainan. Hampir tiga ribu harganya. Sangatlah membazir. Tapi apa nak buat, ia berlaku di luar kawal.

Ada kawan aku pula angkat motor dua bijik dalam masa dua bulan bayar cash. Sedangkan dia dah ada motor. Bila habis fasa manic, mula lah rasa “eh asal aku buat macam tu?”.

Ada juga yang jadi seorang yang sangat outspoken sedangkan dia seorang yang pendiam dan macam macam lagilah kes.

Salah satu pengalaman manic aku yang tak boleh aku lupakan ialah taksub untuk berhijrah. Pada masa itu segala kitab aku baca, video ceramah aku dengar dan setiap usrah yang aku dengar di ceruk mana pun aku akan pergi. Berhari hari aku tak tidur mengaji dan buat tahajud. Aku tak buat kerja lain, masa aku dipenuhi dengan pelbagai hal keugamaan. Masa tu aku rasa dunia dah nak kiamat.

Aku bayangkan yakjuj makjuj, imam mahadi semua dah nak keluar. Aku jadi takut. Badan aku sampai tahap menggeletar bila solat. Menangis nangis minta taubat. Bila tidur pun dapat mimpi neraka.

Aku join semua group niqabis dalam fb dan aku join aktiviti mereka. Sampai aku berniqab. Perkara ni berlaku dalam 2-3 minggu tak silap. Post post di FB semua tentang ugama. Aku rasa dunia dah nak berakhir. Kadang aku menangis tiba tiba.

Selama 2-3 minggu itu aku mengenakan niqab bila keluar. Aku jadi seorang yang sangat islamik.

Selepas keluar dari fasa manic itu aku mula mengenakan tudung biasa, tidak lagi berniqab. Tidak lagi rasa ketakutan melampau.

Tapi jauh disudut hati aku rindu untuk serius berniqab. Berniqab itu sangat dimuliakan dan selamat. Aku memang rasa lain nikmatnya. InsyaAllah. Moga termakbul niat aku yang satu ini.

Rasanya itu sahaja yang aku nak kongsikan kali ini. Harap jangan salah faham jika ada dikalangan pesakit bipolar yang mengalami benda benda yang aku ceritakan tadi.

Cuma sebagai keluarga atau kawan anda cuba lah nasihati mereka kalau mereka melebih lebih dalam satu satu situasi. Dia mungkin berada dalam keadaan luar kawal. Atau pujuk dan bawa dia dapatkan rawatan ke bahagian emergency di hospital. Takut membahayakan diri sendiri atau membawa kemudaratan.

Makan ubat ikut dos yang ditentukan insyaAllah ok. Dulu aku sering culas makan ubat, sebab tu lah kerap manic. Sekarang Alhamdulillah dah terkawal.

Hanan Mikhael Azman
Menulis dari pengalaman.

Sumber: Hanan Mikhael Azman

Aqmal Ezany

I write what is right

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.