Siakap Keli

Lori Bawa 20,000 Liter Bahan Kimia Terbalik Di Bagan Serai

IPOH, 25 Sept (Bernama) – Selepas lebih 16 jam atau setakat pukul 9 malam ini, lori tangki dengan muatan kira-kira 20,000 liter cecair kimia jenis ‘Acetone’ yang terbalik ke dalam parit di Kampung Parit Mentara 3, Bagan Serai, belum dapat dikeluarkan.

Lori tangki itu yang dalam perjalanan dari Klang, Selangor ke Pulau Pinang, terbabas sebelum terbalik ke dalam parit di kampung berkenaan kira-kira pukul 5 pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri Perak, Mohamad Yunus Abu berkata operasi memindahkan bahan kimia itu dijangka selesai selewat-lewatnya awal pagi esok.

“Pihak bomba bersama-sama dengan syarikat terlibat, akan memindahkan bahan kimia dari lori tangki terbalik ke lori baharu pada malam ini.

“Kita akan cuba untuk menyelesaikan operasi pemindahan pada malam ini juga, bergantung kepada keadaan semasa termasuk cuaca,” katanya ketika dihubungi di sini, malam ini.

Mohamad Yunus berkata jumlah anggota yang terlibat dalam operasi berkenaan adalah seramai 35 orang, termasuk daripada Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat), Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Ipoh.

Mengenai langkah keselamatan, beliau berkata setakat ini hanya empat buah rumah dalam jarak 100 meter dari lokasi lori tangki terbalik dinasihatkan supaya berpindah, memandangkan bahan kimia itu yang berada di udara, berisiko mencetuskan percikan api (spark) yang boleh menyebabkan kebakaran.

Mohamad Yunus berkata semua penduduk yang diarah mengosongkan kediaman, berpindah dan menumpang di rumah saudara mara atau jiran berhampiran.

“Selepas jarak 100 meter itu, keadaan selamat. Daripada aspek lain termasuk pernafasan penduduk tidak perlu bimbang kerana kawasan ini luas, bendang… jadi kurang risiko terdedah dengan udara tercemar,” katanya.

Tambah Mohamad Yunus sekiranya cuaca pada malam ini hujan, ia dapat membantu membersihkan bahan kimia itu, yang berada di udara sekali gus mengurangkan risiko kebakaran.

‘Acetone’ merupakan cecair kimia tanpa warna, mudah meruap, mudah bakar dan sering digunakan sebagai pelarut, antaranya untuk cat serta pewarna kuku.

Mohamad Yunus berkata, operasi memindahkan bahan kimia itu tidak dapat dijalankan malam ini kerana pengendali kren enggan mengambil risiko bekerja pada waktu malam, selain pihak syarikat lori tangki terbabit  tidak banyak membantu dalam tindakan memindahkan tumpahan ke tangki atau lori lain.

Bagaimanapun, kata Mohamad Yunus pihaknya telah mengambil tindakan mengalirkan dan memasukkan air ke dalam tangki lori terlibat bagi memastikan bahan kimia Acetone berada dalam keadaan terlarut.

“Tindakan ini bagi mengurangkan tahap nyalaan atau sambar terhadap bahan kimia tersebut,” katanya dalam kemas kini menerusi aplikasi WhatsApp.

Bagi memastikan keselamatan, Mohamad Yunus berkata pihak bomba beroperasi 24 jam di lokasi sehingga lori tangki terlibat berjaya dialihkan.

Tambah Mohamad Yunus kren dijangka memulakan kerja pengalihan lori tangki itu pada pukul 9 pagi esok.

Sumber: BERNAMA

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.