Siakap Keli
Gambar: Yahoo News Singapore

Seramai 77 Ditahan, Sindiket Penyeludupan Migran Lumpuh

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) — Sindiket penyeludupan migran yang mempunyai rangkaian antarabangsa merentasi Myanmar, Thailand dan Malaysia lumpuh apabila polis menahan 77 orang termasuk ketua sindiket itu dalam operasi Cawangan Khas Bukit Aman bermula Ahad lepas hingga semalam,

Timbalan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Cheong Koon Kock berkata mereka yang ditahan dalam operasi empat hari itu terdiri daripada rakyat tempatan dan Myanmar.

“Dalam operasi ini, 66 individu dan lima ejen warga Myanmar telah ditangkap. Polis turut menangkap enam warga tempatan dipercayai ejen termasuk ketua sindiket penyeludupan migran berkenaan.

“Kesemua warga Myanmar itu dipercayai diseludup dan dikumpulkan di satu tempat sebelum dihantar ke lokasi termasuk sekitar Lembah Klang, Pahang, Pulau Pinang dan Kelantan,” katanya pada sidang akhbar khas di Bukit Aman di sini.

Cheong berkata, sindiket itu menggunakan jalan darat dari Thailand, seterusnya menyusup masuk secara salah dengan melintasi Sungai Golok ke Rantau Panjang di Kelantan.

“Mereka dipercayai diseludup untuk bekerja sebagai pekerja ladang dan semasa tangkapan dijalankan di 12 lokasi di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kelantan, sindiket itu didapati sedang menguruskan penyeludupan warga Myanmar terbabit,” katanya.

Beliau berkata, tiga daripada rakyat Myanmar yang ditahan itu didapati pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Cheong berkata, 66 daripada rakyat Myanmar yang ditahan itu untuk tindakan di bawah Akta Imigresen 1959/63 manakala lima lagi rakyat Myanmar dan enam warga tempatan ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Rangkaian antarabangsa sindiket ini telah mula dikesan pada April yang merentasi negara Myanmar, Thailand dan Malaysia,” katanya.- BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.