Siakap Keli
Gambaran hiasan

Rumah Terbakar Ketika Solat Asar Di Bilik

KUNAK, 27 Sept (Bernama) — Tindakan pantas dua beranak keluar dari rumah yang terbakar, menyelamatkan nyawa mereka dalam kejadian kebakaran di Kampung Zainal Gunung, Jalan Jaya Baru dekat sini, petang tadi.

Menurut mangsa, Nordiana Sabir, 37, dia menyedari rumahnya terbakar selepas kayu daripada atap rumahnya jatuh ke lantai ketika sedang menunaikan solat asar di bilik.

“Sebaik sedar (kebakaran) saya terus mencari anak lelaki, berusia 17 tahun yang sedang makan di dapur, dan mengarahkannya berlari keluar rumah.

“Saya pula sempat mencapai dokumen-dokumen penting dan berlari keluar rumah,” katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran, hari ini.

Sebaik menyelamatkan diri, katanya, api marak dan asap hitam keluar berkepul-kepul.

“Hanya memakan masa beberapa minit sahaja, semua hangus sekali gus, saya tidak sempat selamatkan barang lain, tapi syukur saya dan anak selamat,” katanya lagi.

Menurut pembantu tukang masak di pasar malam Kunak itu, dia baru menyewa rumah itu selama dua bulan dan tinggal bersama suami dan dua anak lelaki.

“Ketika kejadian suami bekerja di Semenanjung, manakala seorang lagi anak lelaki berusia 11 tahun tidak berada di rumah,” katanya lagi.

Dalam kejadian itu, tiga rumah musnah dalam kebakaran termasuk rumah Nordiana.

Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kunak, Madzlan Sarman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 3.33 petang.

“Sebelas anggota diketuai Penolong Bomba Kanan II, Rasuah Kaluang, menggunakan sebuah jentera FRT, satu jentera EMRS dan sebuah kenderaan utiliti,” katanya.

Menurut Madzlan, pihaknya mengalami kesukaran mengawal kebakaran ekoran tekanan air rendah daripada sumber pili bomba.

Katanya api berjaya dikawal pada 4.20 petang dan operasi ditamatkan pada 5.40 petang.

— BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.