Siakap Keli
Gambar hiasan.

Buruh Binaan Warga Vietnam Maut, Jatuh Balkoni

JOHOR BAHRU, 27 Sept (Bernama) — Seorang buruh binaan warga Vietnam maut dipercayai terjatuh daripada balkoni sebuah rumah di tapak pembinaan perumahan Jalan Sutera Ros 12/1 Taman Sutera Utama dekat Skudai, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, ACP Mohd Taib Ahmad berkata mayat lelaki yang dikenali sebagai Ksor Phai berusia 37 tahun itu ditemukan pada pukul 7.30 pagi tadi.

Katanya, seorang pekerja wanita di tapak berkenaan yang juga merupakan warga Vietnam menjumpai mayat mangsa sebelum memaklumkannya kepada penyelia dan pengurus projek tapak pembinaan tersebut.

“Mayat mangsa dijumpai dalam keadaan terbaring di atas longgokan batu bata di hadapan rumah dua tingkat yang masih dalam pembinaan itu.

Dari siasatan pihak forensik mendapati, ada kesan luka di bahagian dahi sebelah kiri dan di peringkat ini, mangsa yang ditemui lengkap berpakaian itu disyaki telah terjatuh daripada balkoni,” katanya menerusi satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mohd Taib berkata, menurut pekerja tapak pembinaan berkenaan, kali terakhir mangsa dilihat adalah pada pukul 11 malam tadi.

“Mangsa ketika itu dilihat sedang duduk di balkoni rumah tersebut,” katanya.

Beliau berkata, bedah siasat akan dilakukan oleh Pakar Patologi Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru bagi mengenal pasti punca kematian mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)