Siakap Keli

Pencemaran Bau di Sumber Air Mentah, 204 Kawasan di Selangor Bakal Hadapi Masalah Bekalan Air

KUALA LUMPUR: Loji Rawatan Air Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas sepenuhnya, selepas berlaku insiden pencemaran bau dengan bacaan lima ton, di sumber air mentah Sungai Semenyih.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan berkata henti tugas loji itu akan menyebabkan sebanyak 204 kawasan melibatkan 372,031 akaun pelanggan berdaftar di Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang akan terjejas dengan gangguan bekalan air tidak berjadual, ekoran insiden pencemaran itu.

Menurut kenyataan itu, tempoh masa pengoperasian semula loji dan pemulihan bekalan tidak dapat ditentukan buat masa ini, serta bergantung kepada tahap pencemaran.

Kenyataan itu menyebut Unit Pasukan Pemantau Sungai Air Selangor (PASKAL) dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah mengesan pencemaran yang berpunca dari Loji Rawatan Kumbahan di Bandar Mahkota dan pihak yang berkenaan telah diminta untuk mengambil tindakan segera menghentikan pencemaran tersebut.

Menurut kenyataan itu, insiden pencemaran tersebut merupakan kali keempat bagi tahun ini melibatkan loji-loji utama terpaksa dihenti tugas dan menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual berskala besar di kawasan yang luas.

“Pihak kami telah beberapa kali membawa isu pencemaran air mentah ini untuk perhatian pihak berkuasa dan kebimbangan kami sekiranya isu pencemaran air mentah ini tidak dibendung, akan melibatkan gangguan bekalan air kepada pengguna,” menurut kenyataan itu.

Air Selangor menyatakan pihaknya akan mengeluarkan hebahan dan makluman terkini dari semasa ke semasa dan mengambil tindakan perlu bagi mengurangkan impak gangguan kepada pengguna.

Orang ramai boleh merujuk aplikasi telefon bimbit ‘Air Selangor’ atau laman sesawang www.airselangor.com untuk maklumat lanjut.

— BERNAMA

Roti Tisu