Siakap Keli

Gurau Kasar Tak Lawak, Ini Alasan Kenapa Tak Boleh Cakap ‘Gemuk’ Dekat Orang Lain

Obesiti adalah suatu penyakit yang dikaitkan dengan lebihan berat badan atau dalam bahasa lainnya ialah kegemukan. Orang yang gemuk sering diperlekehkan dan dipandang sebagai suatu bahan untuk dijadikan ejekan. Secara tidak langsung, ianya boleh menjejaskan emosi orang-orang yang mempunyai masalah berat badan ini.

Di Malaysia, statistik diperolehi melalui suatu kajian yang dibuat menunjukkan bahawa Malaysia adalah negara yang obes. Dikatakan, seorang dalam dua orang dewasa mempunyai masalah obes ataupun lebih berat badan. Oleh kerana Malaysia terkenal dengan pelbagai jenis makanan yang tinggi kalorinya, peratusan untuk seseorang itu menambah berat badan adalah sangat tinggi.

Ramai diantara kita pastinya ada seorang dua kawan yang mempunyai berat badan berlebihan atau pun gemuk. Dan pastinya kita pernah menjadikan dia sebagai bahan ejekan kerana bentuk badannya itu. Namun tahukah anda bahawa, setiap ejekan yang keluar daripada mulut kita itu pastinya akan mendatangkan impak kepada diri serta emosinya. Perkara tersebut tidaklah seharusnya berlaku. Kenapa ianya tidak patut berlaku? Ikuti artikel yang dikongsi oleh Hello Doktor ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut.

Kadangkala gurauan yang diungkapkan amat menyakitkan hati individu lain meskipun ia hanya untuk mengusik dan menggembirakan hati. Sudah menjadi lumrah untuk kita bergurau dengan menyentuh isu-isu fizikal manusia sambil bergelak ketawa. Adakah kita benar-benar tahu sekiranya individu yang dijadikan subjek gelak tawa tersebut terluka atau tidak?

Daripada ‘individu obes’ kepada ‘individu yang mengalami obesiti’

Berdasarkan kajian yang dilaksanakan oleh ahli-ahli psikologi, memanggil atau merujuk individu lain dengan panggilan seperti gemuk, atau obes adalah sesuatu yang boleh melukakan hati. Mereka mencadangkan agar penggunaan perkataan obes tersebut digantikan dengan frasa lain iaitu ‘mengalami obesiti’ yang kurang melukakan hati individu berkaitan. Persatuan Psikologi British menyeru perubahan panggilan tersebut dengan menyatakan bahawa penyakit obesiti bukanlah satu pilihan yang diinginkan oleh seseorang individu.

Tam Fry, jurucakap bagi National Obesity Forum juga menyatakan bahawa nasihat daripada Persatuan Psikologi British tersebut adalah sangat baik. Beliau turut bersetuju dengan saranan persatuan itu agar kerajaan perlu menangani masalah obesiti sepertimana masalah merokok iaitu dengan cara amaran kesihatan pada bungkusan produk, pengharaman iklan dan pengharaman merokok dalam bangunan.

Faktor lain penyebab obesiti

Persatuan Psikologi British mengakui bahawa obesiti adalah disebabkan oleh tabiat pemakanan seseorang. Walau bagaimanapun, tabiat tersebut tidak semestinya dianggap sebagai satu ‘pilihan’ atau ‘tanggungjawab seseorang’. Mereka menyatakan bahawa obesiti boleh terhasil daripada pelbagai faktor yang bersifat kompleks termasuklah faktor genetik seseorang. Selain itu, kesan stress daripada zaman kanak-kanak, gaya hidup tidak aktif dan pemilihan jenis makanan tidak sihat turut menyumbang kepada obesiti.

Berpandukan laporan yang dikeluarkan oleh persatuan itu, ia menyatakan bahawa individu yang cenderung mempunyai berat badan yang tidak sihat adalah mereka yang mempunyai risiko genetik yang tinggi untuk mengalami obesiti. Selain itu, ia turut dipengaruhi oleh gaya hidup di tempat kerja, sekolah dan persekitaran sosial yang menggalakkan pemakanan secara berlebihan dan tidak aktif.

Laporan tersebut turut menambah bahawa, mereka yang tinggal di kawasan yang miskin atau kurang bernasib baik mengalami kadar tekanan atau stres yang tinggi. Ini disebabkan oleh cabaran hidup, trauma dan kekurangan pilihan makanan sihat yang berpatutan.

Tiada sesiapa pun yang mahu menjadi gemuk atau obes dan digelar sebagai seorang yang gemuk. Oleh itu, penggunaan kata-kata atau perkataan yang sesuai lebih digalakkan untuk mengelakkan sikap menyalahkan tindakan individu tersebut sebagai puncanya menjadi gemuk. Tidak rugi untuk seseorang berkata dengan kata-kata yang lebih baik, malah ia lebih digalakkan dalam semua perkara dan urusan. Selepas ini, berguraulah dengan sesuatu yang tidak menyentuh sisi fizikal individu lain jika tidak ingin merasakan side kick daripada rakan anda.

Sumber: Hello Doktor

Aqmal Ezany

I write what is right