Siakap Keli
Gambar hiasan

Makan Kacang Pun Boleh Kurus? Biar Betul, Baca Ni Dulu

Untuk mendapatkan berat badan ideal serta bentuk badan yang sempurna, semestinya perlu diselitkan sekali dengan usaha yang banyak dan disiplin yang tinggi. Pelbagai produk-produk kurus yang terdapat di pasaran hari ini tidak pernah menjamin anda untuk mendapatkan bentuk badan seperti yang anda inginkan.

Kunci kepada mendapatkan berat badan yang ideal sebenarnya datang daripada amalan pemakanan yang seimbang. Untuk orang yang sedang berdiet, makanan seperti sayuran serta buah-buahan pastinya sudah lali dalam menu mereka. Namun tahukah anda bahawa, kacang juga boleh membantu anda untuk menurunkan berat badan. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, ikuti penulisan yang telah dikongsi oleh Hello Doktor ini berkenaan dengan khasiat kacang dalam membantu menurunkan berat badan anda seperti berikut:

Kami ingin bertanya kepada anda, berapa jenis kacang yang anda tahu dan kenal? Mungkin yang paling terkenal adalah kacang tanah disebabkan anda memakannya setiap hari daripada nasi lemak anda. Selain itu, anda juga pasti mengenali kacang pistachio, badam, gajus, kacang parang dan pelbagai jenis kacang-kacang lain yang tinggi harganya. Harga kacang turut bergantung kepada variasinya yang tersendiri, bermula semurah kacang tanah sehinggalah yang mahal harganya seperti macadamia yang mungkin tidak dijumpai di kedai-kedai runcit. Bagi peminat kacang, ada khabar baik untuk anda. Apa dia? Baca penulisan kami di bawah untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.

Kacang kekalkan berat badan anda

Gambar hiasan

Menurut satu kajian yang dilakukan oleh Universiti Harvard, memakan sebilangan kecil atau separuh hidangan kacang setiap hari mampu untuk membantu anda mengekalkan berat badan. Adakah kajian ini benar-benar terbukti? Ya, ini kerana kajian ini telah dilaksanakan dengan cara menjejaki seramai 300,000 individu selama dua dekad. Peserta kajian telah ditanyakan berkenaan jumlah kacang yang mereka ambil selain melakukan analisis berdasarkan berat badan, diet dan aktiviti fizikal mereka. Hasilnya, peserta kajian yang memakan 14 gram kacang setiap hari didapati mempunyai berat badan yang lebih kurang selain kurang cenderung untuk menjadi obes.

Kadar pengurangan berat badan

Gambar hiasan

Pengambilan sebarang jenis kacang dikaitkan dengan kurangnya penambahan berat badan dalam tempoh jangka panjang selain mengurangkan risiko menjadi obes. Menurut kajian tersebut, penggantian jenis snek yang tidak sihat kepada hidangan kacang telah didapati mampu mengelakkan peningkatan berat badan sebanyak 0.41 hingga 0.7 kilogram dalam 4 tahun berikutnya. Selain itu, penambahan separuh hidangan kacang dalam pemakanan yang baharu dikaitkan pengurangan berat badan sebanyak 0.74 kilogram. Begitu juga dengan pengambilan separuh hidangan kacang setiap hari, telah dikaitkan dengan penurunan risiko menjadi obes sebanyak 23%.

Apakah sebenarnya yang terdapat dalam kacang?

Kandungan serat yang tinggi dalam kacang menjadikan individu yang memakannya kenyang lebih lama. Selain itu, serat kacang turut mengikat dengan baik bersama lemak di dalam usus, menyebabkannya lebih banyak kalori dikeluarkan. Selain serat, kacang juga diketahui kaya dengan kandungan lemak tidak tepu, vitamin dan mineral.

Untuk makluman pembaca, kajian tersebut telah meneliti hasil kajian daripada pemakanan pelbagai jenis kacang yang tidak terhad kepada satu-satu jenis kacang sahaja. Oleh itu, jika anda tidak meminati kacang tanah tetapi masih bermotivasi untuk mengekalkan berat badan ideal, cubalah mengambil jenis kacang yang lain seperti badam, walnut dan macadamia. Siapa tahu, mungkin selera anda lebih kepada jenis kacang-kacang branded atau high-class.

Sumber: Hello Doktor

Aqmal Ezany

I write what is right

Editor: Nur Farra
" "