Siakap Keli

Kes Muhammad Adib: Tiada Yang Akan Terlepas – Peguam Negara

Kuala Lumpur : Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas hari ini menegaskan bahawa tiada yang akan terlepas apabila Jabatan Peguam Negara mendapat kertas siasatan daripada pihak polis setelah mereka (polis) mengenal pasti suspek yang terlibat dengan kematian anggota Bomba dan Penyelamat Muhammad Adib Mohd Kassim.

Beliau berkata kertas siasatan itu akan diteliti dengan berhati-hati dan secara profesional.

”Orang ramai harus diberikan jaminan bahawa pejabat Pendakwa Raya mengambil serius tanggungjawabnya di bawah undang-undang. Ini ialah janji kami,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau juga berkata terdapat banyak spekulasi yang kebanyakannya memberikan maklumat yang salah berhubung langkah yang perlu diambil oleh pelbagai agensi kerajaan berikutan keputusan Koroner Rofiah Mohamad pada penghujung inkues yang dijalankan ke atas kematian tragis Muhammad Adib.

Tommy berkata Koroner telah memutuskan bahawa dua atau tiga individu telah mengakibatkan kematian Adib dan mengarahkan pihak polis untuk menyambung siasatan mereka.

Beliau berkata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador telah memberikan maklum balas kepada orang ramai bahawa pihak polis akan menyiasat.

”Pihak polis harus diberikan masa dan ruang untuk menjalankan siasatan mereka. Pihak polis mempunyai sumber dan kepakaran untuk menjalankan tugas mereka di bawah undang-undang.”

Selepas siasatan dilengkapkan dan pelaku suspek dikenal pasti oleh pihak polis, beliau berkata kertas siasatan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya dengan syor polis.

Pada peringkat ini tugas jabatan ini bermula. Pihak jabatan perlu meneliti kertas siasatan, mempertimbangkan syor polis dan mendakwa individu-individu terlibat.

Rofiah, yang mengetuai prosiding inkues selama 41 hari untuk menentukan punca kematian Muhammad Adib, menerima keterangan saksi ke-29, ahli patologi forensik Prof Dr Shahrom Abd Wahid yang berpangkalan di United Kingdom, bahawa semasa kejadian itu, mangsa dipukul dan diseret dari van Jabatan Bomba.

Muhammad Adib, 24, yang merupakan anggota perkhidmatan penyelamat perubatan kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, meninggal dunia pada 17 Dis 2018 selepas berjuang untuk hidup selama 21 hari.

Allahyarham cedera semasa rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, pada 27 Nov tahun lepas.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.