Siakap Keli
Gambar: GridPop - Grid.ID

Krisdayanti, Mulan Jameela, Antara 575 Angkat Sumpah Anggota Parlimen Indonesia

JAKARTA, 30 Sept (Bernama) — Dua artis popular Indonesia, antara 575 Anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) yang akan mengangkat sumpah sebagai Anggota Parlimen Indonesia bagi sesi atau penggal 2019-2024, esok.

Dua artis popular itu, Krisdayanti, 44, dan Mulan Jameela, 40, memenangi pilihan raya Indonesia pada 17 April lepas, masing-masing mewakili anggota DPR Jawa Timur V dan Jawa Barat XI.

Krisdayanti, artis yang turut popular di Malaysia itu, bertanding sebagai calon Partai Demokrasi Indonesia-Perjuangan (PDI-P), manakala Mulan, yang juga isteri kepada artis Ahmad Dhani, bertanding sebagai calon Partai Gerakan Indonesia Raya.

Dua menteri Indonesia ketika ini, iaitu Yasonna Laoly (Menteri Hukum dan Hak Asasi Manusia) yang menang bertanding sebagai calon PDI-P, turut melepaskan jawatannya sebagai menteri pada 27 Sept lepas, untuk dilantik sebagai Anggota DPR.

Manakala Menteri Koordinator Bidang Pembangunan Manusia dan Kebudayaan Indonesia, Puan Maharani Nakshatra Kusyala (anak kepada presiden kelima Indonesia Megawati Soekarnoputri, dan cucu kepada presiden pertama, Soekarno) juga calon DPI-P, akan mengangkat sumpah sebagai Anggota DPR esok, dan akan melepaskan jawatan menterinya.

Proses angkat sumpah itu akan dilakukan di depan Ketua Mahkamah Agung, Prof. Dr. H. M. Hatta Ali, dan Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) dijadualkan turut hadir pada majlis itu.

Jokowi, yang menang pada pilihan raya Presiden 2019, dijadual mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia bagi penggal keduanya (2019-2024) pada 20 Okt ini.

Ketua Biro Hubungan Masyarakat Majlis Perwakilan Rakyat (MPR) Siti Fauziah berkata antara agenda yang dijadual bermula 8 pagi esok itu, adalah proses mengangkat sumpah 575 Anggota DPR, 136 Anggota  Dewan Perwakilan Daerah (DPD) dan 711 Anggota MPR untuk penggal 2019-2024.

Sementara itu Ketua Bidang Hubungan Masyarakat, Polis Metro Jaya (Polis Jakarta) Argo Yuwono berkata sebanyak 20,500 anggota polis ditugaskan bagi menjaga keamanan di kawasan parlimen Indonesia.

Jalan utama kawasan parlimen itu, iaitu Jalan  Gatot Soebroto, yang juga jalan utama di Kota Jakarta, telah ditutup sejak seminggu lepas, berikutan beberapa siri demonstrasi dan rusuhan, menjelangnya angkat sumpah itu.

Beberapa siri demonstrasi berskala kecil bermula sejak tiga minggu lepas, dan menjadi semakin buruk bermula 24 Sept lepas, apabila ribuan mahasiswa, pelajar dan pihak tertentu mengadakan demonstrasi di luar kawasan parlimen Indonesia, membantah pelaksanaan pindaan Rang Undang-undang Kitab Hukum Pidana atau RUU KUHP.

Rancangan pindaan undang-undang itu didakwa mengurangkan kuasa Komisi Pembanterasan Korupsi atau badan yang menangani kes-kes rasuah di Indonesia, menyekat kebebasan hak asasi manusia serta melindungi kepentingan politik pihak-pihak tertentu.

Jokowi telah mengarahkan penangguhan  undian parlimen terhadap undang-undang itu pada 20 Sept lepas, dan pastinya menjadi tanggungjawab anggota baharu DPR yang akan mengangkat sumpah esok, untuk proses tindakan selanjutnya.- BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.