Siakap Keli

Buru Pembunuh Gajah Yang Mati Ditembak, Ganjaran RM30,000 Kepada Pemberi Maklumat

TAWAU, 1 Oktober: Ganjaran RM30,000 menanti pemberi maklumat sehingga tertangkapnya  pembunuh seekor gajah pygmy di Sungai Udin, Dumpas, Kalabakan dekat sini baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL)  Sabah, Augustine Tuuga berkata ganjaran itu masing-masing RM10,000 daripada JHL, Orangutan Appeal United Kingdom dan sebuah pertubuhan sukarela.

Pada 25 Sept lalu, sekumpulan pemancing menemukan bangkai gajah berkenaan dalam keadaan terduduk di tebing Sungai Udin, Kalabakan sebelum gambar haiwan itu tersebar di media sosial.

Susulan itu, Jabatan Hidupan Liar melakukan siasatan dan mendapati gading gajah itu dipotong dan hasil bedah siasat mendapati terdapat 70 tembakan di pipi, kepala, badan serta punggung gajah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Peter Umbuas, berkata gajah itu ditembak menggunakan shotgun dan pembunuhnya  boleh didakwa di bawah Akta Senjata Api 1960 serta mengikut Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar  dibawah JHL.

Menurutnya Peter suspek itu kini dalam radar pemburuan polis dan JHL menerusi Operasi Khazanah.

“Jadi kita lancarkan Ops Khazanah Bersepadu, menggembleng semua tenaga penguatkuasa kita yang ada dan kita bersetuju tentang kaedah yang akan digunakan dalam masa terdekat ini setelah kita kenalpasti sasaran,” katanya dan menambah bahawa  operasi itu akan turut disertai Jabatan Perhutanan Sabah.

Peter berkata polis sudah mengenalpasti motif dan mengesyaki suspek merupakan pemburu gading gajah berdasarkan gading pada  gajah yang dibunuh itu, hilang.

“Dari siasatan dan taklimat bersama JHL memang gajah ini dibunuh, sengaja dibunuh, dan untuk tujuan mengambil gading, ini pembunuhan kejam,” katanya lagi.

Peter turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu agar tampil dan menyalurkan maklumat ke balai polis berdekatan, atau menghubungi pegawai JHL bagi membantu siasatan.

Sumber: Bernama

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)