Siakap Keli

Kempen Kesedaran Waspada Pembelian Ubat Dalam Talian #Biarbetuliklanni!

Ledakan teknologi moden telah memberikan impak yang amat besar kepada pengguna khususnya dalam sektor kesihatan. Hasil perkembangan teknologi ini dapat dilihat melalui pekembangan aktiviti-aktiviti dan iklan-iklan yang berkaitan kesihatan. Pada masa yang sama, mekanisme perniagaan secara konvensional telah beralih kepada perniagaan secara dalam talian termasuklah penjualan ubat-ubatan yang semakin berleluasa.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandang serius penjualan ubat-ubatan secara dalam talian dan pengiklanan ubat-ubatan dengan pelbagai tuntutan yang diragui kesahihannya. Pengguna didedahkan kepada risiko mendapat ubat tidak berdaftar, ubat tiruan dan ubat dicampurpalsu Racun Berjadual yang boleh mengancam nyawa. Justeru pengguna perlu berwaspada apabila membuat pembelian ubat dalam talian.

Atas dasar ini, KKM melalui Program Perkhidmatan Farmasi terus mempergiatkan usaha dalam memberikan kesedaran kepada pengguna melalui Kempen Kesedaran Waspada Pembelian Ubat Dalam Talian sepanjang Oktober 2019. Kempen kesedaran dengan tag line #biarbetuliklanni! akan turut dijalankan sewaktu Program Santuni Rakyat, Kenali Ubat Anda pada 5 Oktober 2019 di Dewan Dato’ Penggawa Permatang, Kuala Selangor.

Kempen ini diadakan bertujuan memberi pendidikan kepada pengguna tentang risiko pembelian ubat secara dalam talian dan membolehkan mereka membuat pertimbangan wajar dengan menyemak terlebih dahulu semua maklumat yang terkandung dalam iklan ubat di Internet.

Antara aktiviti yang akan dijalankan sepanjang kempen ini adalah sebaran infografik di laman sosial rasmi KKM, sebaran mesej melalui aplikasi Whatsapp, ceramah, pameran dan wawancara di radio dan televisyen.

Hashtag #biarbetuliklanni! merupakan tag line yang dipilih dalam kempen ini bertujuan untuk menerapkan kewaspadaan di kalangan pengguna supaya tidak mudah percaya iklan-iklan ubat dan pelbagai testimoni yang meragukan di internet. Pengguna juga digalakkan untuk turut sama menularkan infografik waspada pembelian ubat dalam talian serta tagline #biarbetuliklanni! bagi tanda sokongan terhadap kempen ini.

Melalui kempen ini juga pelbagai tips yang berguna sebelum membuat pembelian ubat dalam talian dapat diaplikasikan iaitu pengguna perlu menyemak terlebih dahulu status pendaftaran ubat-ubatan dengan memastikan ubat-ubatan tersebut telah berdaftar dengan KKM. Seterusnya membuat semakan pengiklanan ubat-ubatan tersebut dan memastikan pengiklanannya telah diluluskan oleh Lembaga Iklan Ubat (LIU). Orang awam boleh merujuk Ahli Farmasi iaitu ‘Rakan Ubat Anda’ sekiranya benar-benar ingin membuat pembelian ubat-ubatan melalui dalam talian.

Orang awam dan pihak media boleh mengemukakan aduan dan menyalurkan maklumat mengenai penjualan atau pengiklanan ubat dalam talian yang disyaki meragukan melalui laman sesawang https://www.pharmacy.gov.my ATAU melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat https://moh.spab.gov.my ATAU mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi yang berdekatan ATAU melalui talian 03-78413200 agar tindakan sewajarnya dapat diambil oleh pihak KKM bagi membanteras penjualan dan pengiklanan produk-produk dilarang di pasaran.

Waspada pembelian ubat dalam talian.

#biarbetuliklanni!

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)