Siakap Keli
Gambar: Daily Mail

(Video) Paus Beluga Otak Bergeliga, Dirakam ‘Pulangkan’ GoPro Terjatuh Dalam Air Kepada Pengkayak

Seekor ikan paus beluga telah bertindak memulangkan kamera GoPro milik seorang lelaki yang berkayak di Hammerfest Bay, Norway selepas ianya terjatuh ke dalam air.

Kejadian tersebut dilaporkan berlaku pada September 2019. Difahamkan semasa lelaki yang bernama Joachim Larssen itu sedang mahu keluar dari kayaknya, seekor ikan paus beluga yang terkenal di daerah itu datang menghampiri untukĀ  menyapanya.

Ikan paus yang dikenali dengan nama Hvaldimir itu mengekori kayak Joachim sehingga ke jeti dan bertindak menyentuh kayak lelaki tersebut.

Menyedari keramahan haiwan tersebut terhadapnya, dia cuba untuk tidak melepaskan peluang keemasan itu bagi merakam aksi ikan paus tersebut secara dekat dengan kameranya.

Dia kemudiannya memasukkan kamera GoPro miliknya ke dalam air dan berjaya merakam ikan paus yang bernama Hvaldimir itu sebagaimana yang dia inginkan.

Sedang dia sedang asyik merakam gelagat Hvaldimir yang berada di dalam air, kameranya itu terlepas daripada genggaman akibat dilanggar oleh ikan paus tersebut.

Walau bagaimanapun, Joachim mendakwa bahawa Hvaldimir sengaja berbuat sedemikian kerana hanya ingin bergurau dengannya sahaja.

Selepas kamera tersebut jatuh ke dalam air, secara ajaibnya ikan paus tersebut telah bertindak mengambil dan memulangkan kamera tersebut kepadanya.

Sebelum ikan paus tersebut kembali ke habitatnya, Joachim sempat menikmati saat-saat yang pasti manis buatnya kerana dia dapat menyentuh, mengusap Hvaldimir serta menyaksikan secara lebih jelas kulit serta mulut ikan paus itu secara dekat.

“Saya mahu merakam gelagatnya ketika di dalam air dan saya rasa dia tahu apa itu kamera GoPro, jadi dia bertindak mengambilnya daripada tangan saya dan menjatuhkan kamera tersebut sebelum memulangkannya kembali,” ujar Joachim.

“Saya tahu bahawasanya ia mungkin telah dilatih oleh pihak Rusia kerana ia pernah ditemui dengan tali yang didapati pada kamera GoPro,” dakwa Joachim.

“Saya sangat terkejut dan tidak mahu pun menyentuhnya pada mulanya kerana saya selalunya tidak menyentuh haiwan liar melainkan hanya untuk tujuan membantu sahaja,” tambah Joachim.

“Namun dalam hal ini, saya membuat pengecualian berikutan dengan keramahan haiwan tersebut”, kata Joachim.

Sumber: Daily Mail

Aqmal Ezany

I write what is right

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.