Siakap Keli
Gambar: Facebook

KTMB Perlu Kemukakan Laporan Lengkap Insiden Kemalangan Kereta Api dan Lori Simen Konkrit

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) — Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) diarah mengemukakan laporan lengkap dengan menyatakan punca serta faktor penyumbang insiden kemalangan kereta api barangan nombor 182 dengan sebuah lori simen konkrit di pintu pagar lintasan rata, antara Jalan Kastam dan Pelabuhan Klang dua hari lepas.

Menurut kenyataan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Pusat Kawalan Kemalangan Kereta Api APAD telah menerima Notis 24 jam daripada KTMB iaitu selaras dengan kehendak syarat lesen pengendali dan peruntukan di bawah Seksyen 145 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) bagi kemalangan tersebut.

“APAD meminta KTMB mengemukakan pelan tindakan, cadangan penambahbaikan dan tempoh waktu penyelesaian,  rekod carta had laju kereta api barangan bernombor 182 dan kenyataan bertulis pekerja-pekerja yang terlibat dengan kemalangan.

“KTMB turut diarahkan mengambil tindakan serta merta bagi memastikan kemalangan yang sama tidak berulang di lintasan rata berkenaan serta di lintasan-lintasan rata yang lain,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Unit Komunikasi Korporat APAD di sini hari ini.

Dalam pada itu APAD turut mengarahkan pengendali lori simen konkrit berkenaan untuk mengemukakan maklumbalas dan laporan terperinci mengenai kemalangan tersebut.

Menurut APAD, di bawah Akta 715, aspek keselamatan merupakan suatu keutamaan dan semua pengendali pengangkutan awam darat serta mana-mana individu yang terlibat hendaklah menitikberatkan aspek keselamatan dalam pengendalian perkhidmatan masing-masing.

“Seksyen 62 Akta 715 memperuntukkan bahawa APAD boleh membatalkan atau menggantung mana-mana lesen pengendali kenderaan barangan yang dikeluarkan di bawah Akta 715 jika mana-mana peruntukan Akta 715 atau mana-mana syarat lesen pengendali tidak dipatuhi,” jelasnya.

Akta 715 juga memperuntukkan dibawah Seksyen 128 menyatakan individu yang dengan sengaja atau cuai merosakkan kereta api, premis kereta api atau harta yang dipunyai oleh seorang pengendali berlesen boleh disabitkan kesalahan dan didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

“APAD tidak akan bertoleransi terhadap sebarang kecuaian dan menegaskan bahawa mana-mana orang yang gagal mematuhi aspek keselamatan boleh dikenakan tindakan di bawah undang-undang,” tambahnya.

Sumber: Bernama

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa