Siakap Keli
Gambar Hiasan

Premis Disyaki Memiliki Produk Tidak Berdaftar KKM, Pemeriksaan Juga Ikut SOP – KKM

Kuala Lumpur, 3 Okt – Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya melalui Cawangan Penguatkuasaan Farmasi, Bahagian Perkhidmatan Farmasi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya telah memeriksa sebuah premis kesihatan iaitu DHA Healthcare Enterprise yang difahamkan dimiliki seorang doktor sakit puan di sini hari ini.

Menurut Pengarah Kesihatan Negeri Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Dr Param Jeeth Singh, pemeriksaan tersebut dilakukan berikutan aduan orang awam yang mendakwa premis tersebut memiliki produk kesihatan tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Pemeriksaan oleh anggota penguatkuasa telah dijalankan mengikut prosedur dan standard yang telah ditetapkan oleh KKM, iaitu bersandarkan peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi.

“Sebelum pemeriksaan dijalankan, siasatan awal mendapati premis tersebut telah disahkan memiliki dan menjual produk sasaran berdasarkan belian percubaan (test buy) berserta resit bayaran,” tambahnya.

Katanya, hanya iklan risalah produk berkenaan yang ditemui manakala produk tersebut tiada lagi di premis itu ketika pemeriksaan dijalankan.

Param mendakwa, pemeriksaan tersebut telah dijalankan dengan penuh berhemah dan beretika serta menafikan berlaku sebarang kucar-kacir atau kekasaran seperti dilaporkan media sosial.

“Adalah dimaklumkan juga, premis ini merupakan sebuah fasiliti yang dimiliki oleh seorang doktor sakit puan di Malaysia. Namun begitu, fasiliti tersebut tidak pernah berlesen dengan Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) KKM sejak penubuhannya,” katanya.

Premis tersebut pernah menerima arahan supaya berhenti operasi pada 26 Februari 2016, tambah Param.

“Memiliki atau menjual produk kesihatan yang tidak berdaftar dengan KKM adalah merupakan pelanggaran di bawah Peraturan 7(1)(a), PeraturanPeraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan ianya boleh dihukum di bawah Seksyen 12(2) Akta Jualan Dadah 1952.

“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya.

Sumber: KKM Putrajaya

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.