Siakap Keli
Gambar: permohonan.my

“Harap Sangat Gov Tak Hapuskan My100,” Ini Suara Hati Rakyat Menjelang Bajet 2020

Menjelang tahun 2020 yang bakal tiba beberapa bulan lagi, pelbagai perubahan dapat dilihat tidak kiralah dari segi pembangunan negara, perkembangan masyarakat dan juga kebolehan individu yang semakin positif. Pelbagai perancangan telah diaturkan bagi menghadapi tahun 2020 supaya dapat mengurangkan masalah-masalah yang boleh menjejaskan keharmonian negara Malaysia.

Berbaki beberapa bulan sebelum tiba pada tahun 2020, sudah pastinya Bajet 2020 telah menjadi perhatian bagi rakyat dan masyarakat Malaysia. Apa tidaknya, masyarakat Malaysia mengharapkan pelbagai perubahan dan penambahbaikan yang dapat dibuat oleh Kerajaan Persekutuan supaya kehidupan mereka lebih terjamin pada masa hadapan.

Bajet 2020 dijadualkan akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada Jumaat, 11 Oktober 2019. Berdasarkan perbualan rata-rata netizen di ruangan laman sosial, Bajet 2020 yang bakal dibentangkan akan memfokuskan kepada beberapa aspek seperti kos sara hidup, pendidikan, teknologi, keusahawanan dan banyak lagi.

Ekoran pembentangan Bajet 2020 ini, rata-rata rakyat Malaysia mengharapkan agar pembentangan bajet ini akan berpihak kepada mereka. Antaranya ialah ada yang mengharapkan gaji minimum bagi setiap pekerja ditetapkan pada nilai RM2000.

Selain itu, ada juga yang mengharapkan agar wang Bantuan MY100 akan dikekalkan supaya menjimatkan perbelanjaan bagi golongan yang menggunakan pengangkutan awam.

Perkara ini juga seiring dengan harapan masyarakat supaya kerajaan mengutamakan Bantuan Sara Hidup, pekebun kecil dan meneliti musim tengkujuh bagi nasib nelayan yang tidak dapat mencari rezeki di laut. Harga jualan bahan mentah seperti getah, padi dan sawit juga berada pada nilai yang rendah dan tidak seiring dengan kenaikan harga barang-barang keperluan.

Masyarakat juga berharap agar kerajaan juga menumpukan bajet 2020 terhadap sektor kesihatan dan juga pendidikan.

Selain daripada harapan yang disuarakan ini, terdapat pelbagai lagi perkara yang diharapkan di dalam Bajet 2020 yang bakal dibentang. Kehidupan dan gaya hidup masyarakat pada masa akan datang sedikit sebanyak dipengaruhi oleh penetapan bajet. Oleh itu, besar harapan masyarakat Malaysia agar Bajet 2020 lebih berpihak kepada pembangunan negara dan kehidupan masyarakat yang lebih baik.

Sumber: Twitter

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa

Nur Farra