Siakap Keli
Gambar hiasan.

TERKINI: Harga Petrol RON 95 Akan Diapung Semula Tahun Depan, Bermula Serentak Dengan Program Subsidi Petrol

PUTRAJAYA, 7 Okt (Bernama) – Bermula 1 Januari 2020, harga petrol RON95 akan diapungkan serentak pelaksanaan Program Subsidi Petrol (PSP), kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Program ini menyasarkan kira-kira 2.9 juta penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) berkenderaan di Semenanjung Malaysia, katanya.

“Kadar subsidi adalah sebanyak RM30 sebulan bagi kereta dan RM12 sebulan bagi motosikal,” katanya pada sidang media mengenai Program Subsidi Petrol di sini hari ini.

“Penyelasaran harga RON95 akan diapung secara berperingkat dan tidak akan membebankan pengguna,” katanya.

Menurut Saifuddin, subsidi petrol kini adalah secara pukal dan dinikmati oleh semua orang tanpa mengira kewarganegaraan dan pendapatan. Oleh itu, PSP akan menyasarkan golongan layak iaitu warganegara Malaysia berpendapatan rendah dan sangat memerlukan subsidi berkenaan.

Kredit bantuan ke akaun penerima

Berbekalkan peruntukan RM65.4 juta sebulan, kerajaan akan mengkreditkan bantuan terus ke akaun penerima setiap empat bulan sekali bermula April 2020 akan datang.

“Kriteria penerima PSP adalah merupakan penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) di Semenanjung Malaysia yang memiliki kenderaan atas nama sendiri dan cukai jalan yang sah,” katanya.

Ciri pemilikan kenderaan yang ditetapkan ialah kereta 1600cc dan ke bawah manakala kenderaan melebihi 1600cc, ia perlu berumur 10 tahun dan ke atas, tambahnya.

Sementara itu, motosikal yang layak pula ialah yang memiliki 150cc dan ke bawah serta berumur 7 tahun dan ke atas bagi yang melebihi 150cc.

“Individu yang mempunyai lebih daripada satu kenderaan hanya layak menerima subsidi untuk satu kenderaan sahaja mengikut kadar yang lebih tinggi,” katanya.

Rakyat Sabah Sarawak terkecuali

Kata Saifuddin, rakyat Sabah, Sarawak dan Labuan akan terus menikmati subsidi petrol secara pukal pada harga runcit RM2.08 seliter setelah mempertimbangkan keperluan mereka yang kebanyakannya menggunakan kenderaan berkapasiti besar serta diesel.

“Oleh itu, rakyat Sabah, Sarawak dan Labuan dikecualikan daripada pelaksanaan PSP dan pengapungan harga jualan runcit petrol RON95,” katanya.

Semak kelayakan

Bermula 15 Oktober ini, penerima BSH boleh menyemak kelayakan laman web psp.kpdnhep.gov.my manakala bagi sesiapa yang tidak tersenarai namun merasakan mereka layak berdasarkan kriteria digariskan boleh membuat rayuan melalui laman yang sama.

Program subsidi ini akan tetap diteruskan jika harga minyak dunia turun.

“Sekiranya harga minyak stabil pada bulan Januari dan Februari dan jatuh menjunam pada Mac dan April, bayaran PSP akan tetap dilaksanakan pada April,” kata Saifuddin.

Namun jika harga terus menjunam, kerajaan akan membincangkan semula perkara berkenaan, katanya lagi.

Penglibatan M40 dan peningkatan harga barang

“Jika ditanya apa dalam pemikiran, saya ingin memperluaskan PSP kepada M40. Saya akan mengutarakan perkara ini dalam mesyuarat kabinet akan datang.”

Mengulas tentang kerisauan orang ramai jika berlaku kenaikan harga barang pasca PSP, Saifuddin menegaskan seramai 2,300 pegawai pemantau harga akan mengekang perkara itu.

“Orang ramai juga boleh melaporkan aduan kepada KPDNHEP melalui talian 1800-886-800, aplikasi telefon pintar EzADU, portal e-aduan dan whatsapp KPDNHEP 019-2794 317 atau hadir ke mana-mana pejabat KPDNHEP yang terdekat,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.