Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Pantai Timur Dan Johor Dijangka Alami Enam Episod Hujan Lebat Bermula November

Kuala Lumpur : Tiga negeri di Pantai Timur semenanjung dan Johor dijangka mengalami empat hingga enam episod hujan lebat bermula awal November hingga Januari depan berikutan kedatangan musim Monsun Timur Laut.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Jailan Simon berkata ketika monsun  berlaku, negeri berkenaan dijangka menerima peningkatan jumlah hujan sehingga 40 peratus.

”Monsun Timur Laut berlaku antara November hingga Mac. Biasanya, hujan akan bermula di Kelantan dan Terengganu pada November hingga Disember. Lazimnya, secara purata ketika monsun kedua negeri ini menerima hujan antara 300 hingga 650 milimeter (mm) sebulan berbanding bulan biasa hanya 200 hingga 300mm.

”Bagi Pahang dan Johor pula, kita jangka hujan lebat akan berlaku pada Disember hingga Januari yang mana biasanya pada musim monsun, kedua negeri ini biasanya akan menerima hujan antara 200 hingga  600mm berbanding bulan biasa hanya 150 hingga 300mm,” katanya kepada sumber hari ini.

Jailan berkata episod hujan lebat dijangka berlaku di Sarawak pada Januari hingga Februari dengan pertambahan jumlah hujan daripada 200 hingga 400mm sebulan pada bulan biasa kepda 300 hingga 700mm sebulan pada musim tengkujuh.

Bagaimanapun, Jailan berkata buat masa ini pihaknya tidak menjangkakan hujan luar biasa yang boleh menyebabkan banjir besar berlaku.

”Setakat ini kita hanya meramalkan hujan lebat yang biasa seperti yang lazim berlaku pada musim monsun. Kita tak jangka berlaku hujan yang luar biasa seperti tahun 2014. Bagaimanapun, kita akan sentiasa membuat pemantauan dari semasa ke semasa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati orang ramai agar sentiasa peka dengan keadaan semasa dan amaran yang dikeluarkan pihaknya dan pihak berkuasa yang lain.

”Bagi penduduk yang tinggal di kawasan rendah dan sering dinaiki air, saya nasihatkan supaya mereka bersiap sedia lebih awal dengan memastikan segala dokumen disimpan di tempat yang selamat dan mudah diambil sekiranya berlaku banjir,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata pihaknya kini dalam proses mempertingkatkan kesiapsiagaan termasuk aset dan keanggotaan mereka bagi menghadapi musim tengkujuh.

Katanya, JBPM kini berada pada tahap 75 peratus dalam memastikan asetnya berfungsi manakala daripada lebih 80 peratus daripada kira-kira 10,500 anggota bomba di seluruh negara telah bersiap sedia.

”Dari segi keanggotaan memang JBPM bersiap siaga 24 jam tujuh hari seminggu dari segi akses dan juga logistik penyelamatan termasuk bot-bot di setiap lokasi yang telah dikenal pasti di seluruh negara.

”Kenderaan utiliti dan pengangkutan termasuk peralatan mencari serta menyelamat seluruh negara kita minta supaya berada dalam keadaan baik dan diselenggara pada peringkat ini,” katanya.

Jelas Mohammad Hamdan, pihaknya terus berkoordinasi dengan agensi-agensi seperti MetMalaysia dan Jabatan Pengaliran dan Saliran, untuk memberi maklumat berguna serta respon kecemasan yang melibatkan kenaikan paras air dan juga hujan berlebihan.

Mohammad Hamdan berkata setakat ini pihaknya belum membekukan cuti anggotanya tetapi akan berbuat demikian jika keadaan banjir kritikal.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.

Tambah komen

Dari Wiser.my

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.