Siakap Keli

Insan Dirahmati Allah, Satu Sekolah Tangisi Pemergian Guru Ini

Kematian yang dicemburui, begitulah menurut satu perkongsian yang tular di media sosial mengenai pemergian seorang guru di sebuah sekolah di Putrajaya.

Kematian arwah guru berkenaan yang dikenali Cikgu Anita Idris oleh rakan sejawat beliau Cikgu Hussayn disifatkan sebagai kehilangan besar buat mereka. Pemergiannya yang mudah ditangisi oleh semua. Moga Allahyarhamah ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Kematian Yang Dicemburui

“Masuk la tengok. Orang baik ni!. Senang sahaja kami urus dia tadi.”

Begitulah ungkapan ustazah yang menguruskan jenazah Cikgu Anita Idris di dalam bilik mayat Hospital Putrajaya saat kami beratur untuk melihat jenazah. Tenang raut wajah Allahyarhamah saat kami menatapnya buat kali terakhir.

Pagi ini kami warga SK Putrajaya Presint 8(2) dikejutkan dengan berita pemergian insan berjasa di sekolah kami. Sekolah Kluster Kecemerlangan dimana salah satu bidang kebitaraannya ialah Bola Jaring.

Beliau juga merupakan Pengerusi Teknik Bola Jaring Putrajaya. Merupakan insan hebat dan penuh semangat mendidik anak bangsa terutama melatih anak-anak dalam permainan bola jaring.

Jasanya bukan kepalang. Sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir, beliau baru sahaja membawa pasukannya ke New Zealand untuk beraksi di sana dalam International Netball Festival New Zealand 2019.

Sebaik pulang daripada New Zealand beliau terus dibawa ke Hospital Putrajaya dan ditahan di wad kerana masalah paru-paru. Allah menyayangi dirinya. Pagi ini jam 8.00 pagi kami redha beliau telah pergi buat selamanya.

Sebagai guru, saya melihat betapa semua kawan dan anak murid menyayangi dirinya. Berpusu-pusu orang datang ke hospital dan surau untuk menatap wajahnya buat kali terakhir. Hampir kesemuanya menitiskan airmata. Allahu.

Semua urusan di hospital dapat diselesaikan dengan pantas. Kemudian solat jenazah di Surau Putra Al-Amin, Presint 8 Putrajaya yang berdekatan sekolah. Kehadiran murid dan ibu bapa yang ramai membuatkan hati saya tersentuh.

Benarlah! Bagai kata ustazah yang memandikan jenazahnya, Kak Nita orang yang baik. Orang yang baik disayangi Allah dan semua makhlukNya.

Saat saya menulis ini jenazah sedang dalam perjalanan ke Bandar Baharu Serdang, Kedah untuk dikebumikan di kampung halaman beliau selepas asar.

Berkesempatan berbicara dengan ibunya saat saya dan adiknya di dalam van jenazah untuk ke surau. Ibunya ada mengungkapkan kata-kata arwah.

“Mak, lepas balik New Zealand ni ingat nak duduk rumah baru.”

Mengalir airmata si ibu apabila rumah baru itu bukan rumah PPA1M yang arwahyarhamah beli tetapi rumah sebaliknya. Allahu.

Buat Kak Nita yang dikasihi. Damailah dikau disana. Semoga tempat baharu dirimu bersemadi menjadi taman-taman Syurga. Kami kirimkan doa dari kejauhan. Ramai orang sayang akak dan mereka akan kirimkan doa buat akak.

Maafkan andai ada salah dan silap kami. Sesungguhnya pada kami tiada apa salah yang akak lakukan. Semuanya baik-baik sahaja di mata kami. Selamat tinggal kak. Allahu.

Al-Fatihah.

إنالله وإنا إليه راجعون…
اللهم اغفرلها وارحمها وعافها واعف عنها…آمين..

#coretancikguhussayn

Sumber : Cikgu Hussayn

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.

Nur Farra