Siakap Keli

Luqman Hakim Diiktiraf Antara 60 Bakat Muda Terbaik Dalam Dunia Bola Sepak

Beberapa bulan yang lalu, arena sukan bola sepak Malaysia dihidangkan dengan aksi menarik yang dipamerkan oleh skuad Bawah 18 Tahun (B-18) negara. Aksi cemerlang para pemain yang komited sering mendapat pujian rata-rata masyarakat Malaysia malah sehingga boleh menewaskan pasukan Australia ketika Kejohanan Persekutuan Bola Sepak ASEAN B-18 2019.

Namun begitu, apa yang menarik perhatian ramai adalah aksi lincah yang dipamerkan oleh seorang penyerang sensasi negara. Luqman Hakim Shamsuddin dilihat sebagai bintang bola sepak negara telah menjadi bualan hebat rata-rata peminat sukan bola sepak malah turut diintai oleh jurulatih di luar negara. Perkara ini susulan daripada pengesahan bahawa penyerang muda ini akan menjalani latihan bersama Cardiff City sebelum beraksi bersama kelab Liga Divisyen Satu Belgium, KV Kortijk.

Terkini, penyerang skuad bawah 18 negara itu sekali lagi mengharumkan nama negara apabila tersenarai dalam 60 pemain muda paling berbakat di dunia yang dikeluarkan The Guardian. Luqman merupakan antara empat pemain Asia yang tersenarai dalam kesemua 60 pemain yang disenaraikan.

Menurut The Guardian, Luqman Hakim dilihat sebagai bakat muda yang bakal menggantikan era kegemilangan yang pernah diraih oleh lagenda bola sepak negara, Mokhtar Dahari.

Bakat terpendam anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu telah digilap melalui Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP). Antara pencapaian terbaiknya adalah pernah membantu skuad B-13 NFDP bergelar juara bagi kejohanan Piala Iber Costa del Sol di Sepanyol pada tahun 2015. Malah, ketika itu Luqman Hakum diiktiraf sebagai penjaring terbanyak kejohanan tersebut. Luqman juga merupakan penerima kasut emas Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Bawah 16 Tahun pada 2018.

Walau bagaimanapun, kelibat Luqman Hakim dalam senarai pemain muda berbakat dunia membuktikan bahawa pemain ini mempunyai kelas yang tersendiri dan masa depan yang cerah dalam arena sukan bola sepak.

Sumber: The Guardian

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa

Nur Farra