Siakap Keli
Gambar: Google

Pelaksanaan Sistem Upah Dikaitkan Dengan Produktiviti Beri Faedah Kepada Majikan, Pekerja

KUALA LUMPUR, 11 Okt– Pelaksanaan Sistem Upah Yang Dikaitkan Dengan Produktiviti (PLWS) akan memberi faedah kepada majikan dan pekerja, selain membolehkan kedua-dua pihak menikmati ganjaran yang saksama, hasil peningkatan produktiviti atau penambahbaikan prestasi.

Menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2020 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan, PLWS juga akan menawarkan struktur gaji yang lebih fleksibel yang berupaya mendepani ketidaktentuan ekonomi, memastikan kestabilan pekerjaan dan mengurangkan risiko kemungkinan pemberhentian pekerja semasa berlakunya kelembapan ekonomi.

“Justeru, sinergi di antara sektor swasta dan agensi kerajaan perlu diperkukuhkan bagi memastikan industri meraih manfaat daripada pelaksanaan PLWS. Seterusnya, meningkatkan daya saing demi mencapai aspirasi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” menurut laporan itu.

PLWS terdiri daripada komponen tetap dan komponen boleh ubah, dengan komponen tetap meliputi gaji pokok, kenaikan gaji tahunan dan bonus kontraktual manakala komponen boleh ubah adalah berdasarkan kepada produktiviti pekerja.

“Kedua-dua komponen tersebut dikategorikan kepada tiga model PLWS, iaitu model berasaskan produktiviti, model berasaskan keuntungan dan model campuran.

“Elemen lain dalam komponen boleh ubah termasuk kadar per unit, insentif kedatangan, caj perkhidmatan dan elaun kemahiran,” menurut laporan itu.

Pelbagai usaha telah dijalankan oleh Kementerian Sumber Manusia dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) untuk memperluaskan penerimaan PLWS, termasuk melaksanakan program latihan, bengkel, seminar, taklimat, perundingan, pameran berkaitan amalan terbaik dan Anugerah PLWS.

“MPC juga telah membangunkan sistem atas talian WayUp bagi memudahkan syarikat untuk menerima pakai PLWS,” katanya.

Bagaimanapun, laporan itu turut menjelaskan kadar penggunaan PLWS masih rendah di negara ini, disebabkan beberapa faktor, termasuk kurang kesedaran mengenai faedah PLWS, dan bantuan yang disediakan oleh kerajaan bagi menggunakan sistem ini.

“Bantahan daripada kesatuan sekerja dan kos perlaksanaan yang tinggi turut menyumbang kepada tahap penerimaan PLWS yang rendah,” kata laporan itu.

Oleh yang demikian, usaha bersepadu perlu diperluaskan bagi pelaksanaan PLWS untuk memastikan pemberian upah berhubung kait dengan tahap produktiviti, manakala Pembangunan Sumber Manusia Berhad akan meneruskan program peningkatan kemahiran dan latihan semula, serta memperluas liputan sektor bagi membolehkan lebih ramai pekerja dapat dilatih.

“Program latihan tersebut bertujuan melahirkan pekerja berkemahiran yang lebih produktif, seterusnya memperoleh upah yang lebih tinggi,” kata laporan itu.

Laporan itu juga mengatakan kajian yang komprehensif mengenai pelaksanaan PLWS boleh dijalankan untuk menganalisis mengenai impak penggunaan sistem ini meliputi sektor, negeri, saiz firma dan kategori pekerjaan.- BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right