Siakap Keli
Gambar Hiasan

Guru Sekolah Menengah Ditahan Berlumba Haram, ”Race” Naik Yamaha YZF-R1 Dengan Tukang Masak

Seorang guru lelaki di sebuah sekolah menengah ditahan polis awal pagi tadi kerana berlumba haram dengan seorang tukang masak, lapor BERNAMA.

Perlumbaan tersebut dilaporkan berlangsung dari simpang Jalan Kampung Jawa ke Medan Selera Kampung Jawa di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, Bayan Lepas.

Menurut Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt A.A Anbalagan, guru berkenaan yang berumur 25 tahun ditahan ketika leka berlumba haram dengan seorang lagi lelaki berusia 31 tahun dalam operasi samseng kira-kira pukul 2 pagi.

“Guru yang mengajar di sebuah sekolah menengah di daerah Timur Laut itu difahamkan dia dalam tempoh percubaan mengajar di situ, menunggang motosikal jenis Yamaha YZF-R1 warna kuning manakala seorang lagi menunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Aprilia RSV4 warna merah,” katanya.

Bagaimanapun kedua-dua lelaki berkenaan diberi jaminan polis dan pihak berkuasa sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Kes berkenaan akan disiasat dibawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Menurutnya lagi, pihak polis sentiasa memberi perhatian serius terhadap aktiviti lumba haram yang sering berlangsung terutamanya ketika hujung minggu.

“Saya menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa patuh pada undang-undang dan jangan mempertaruhkan nyawa sendiri serta menggugat keselamatan pengguna yang lain,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.